BATU PAHAT: Kerajaan dalam fasa akhir untuk menguatkuasakan pelaksanaan dasar kewarganegaraan baharu yang memberikan taraf tersebut secara automatik kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warga tempatan bersama suami warga asing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya termasuklah wakil KDN di luar negara telah bersedia dengan perkara tersebut bagi memudahkan pelaksanaannya.
“Di peringkat kementerian, semua persediaan telah diselesaikan termasuk persediaan melibatkan perwakilan kita di luar negara serta borang-borang yang berkaitan. Sebelum pindaan anak itu perlu mohon taraf warganegara.
“Kita dah pinda agar anak itu menjadi warganegara secara automatik, ini akan beri kesan besar terutama kepada ibu-ibu warga Malaysia. Mereka tidak perlu lagi bertarung di mahkamah untuk dapatkan status itu,” katanya kepada pemberita pada Program Citra Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, di sini hari ini.
Pada 17 Oktober 2024, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan dengan sokongan majoriti dua pertiga.
Pindaan itu, antara lain, memastikan anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing layak mendapat kewarganegaraan secara automatik, iaitu hak yang sebelum ini hanya diberikan jika si bapa merupakan warganegara Malaysia.
Langkah berkenaan diperkenal bagi memperkukuh prinsip keadilan, kesaksamaan dan ketelusan dalam penganugerahan kewarganegaraan, selaras dengan realiti semasa serta aspirasi negara.
Sementara itu, Saifuddin Nasution turut memerintahkan, dalam tempoh tiga tahun menerajui KDN, pihaknya telah menyelesaikan hampir semua isu kewarganegaraan yang tertangguh sebelum ini.
“Masa saya masuk, permohonan tertunggak yang menunggu berbelas tahun tanpa sebarang keputusan jumlahnya hampir 50,000. Tiga tahun di kementerian ini, kita tetapkan hala tuju dan sekarang hanya tinggal lebih 2,000 permohonan sahaja.
“Saya yakin perkara itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya. – UTUSAN










