KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang lelaki selepas gagal hadir bagi prosiding pengurusan kes pertuduhan membabitkan penahanan seorang lelaki warga Palestin.
Hakim Datuk Mohd. Arief Emran Arifin mengeluarkan waran berkenaan terhadap tertuduh, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 31, selain membatalkan jaminan sebanyak RM50,000 yang dikenakan terhadapnya.
Terdahulu, penjamin kepada Muhammad Iqmal memaklumkan bahawa dia gagal mengesan keberadaan tertuduh dan satu laporan polis telah dibuat.
Timbalan Pendakwa Raya, Zailin Nadia Zubir turut memaklumkan pihak polis masih berusaha mengesan tertuduh selepas percubaan mengesannya di kampung halaman gagal.
“Pihak polis telah ke Tanjung Sepat dan menemubual bapa penama (Muhammad Iqmal), tetapi bapanya memaklumkan dia tidak pulang ke kampung sejak Januari lalu,” katanya.
Sementara itu, tujuh lagi tertuduh bagi kes sama hadir pada prosiding hari ini.
Mereka ialah Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 45; Mohamad Naziree Mustapha, 45; Faizull Hardey Mohd. Isa, 46; Mohd. Zaidi Mohd. Zain, 60; Nidarahayu Zainal, 40; Raibafie Amdan, 45; dan Edy Ko’im Said, 46.
Perbicaraan bagi kes kesemua mereka dijadualkan bermula pada 12 Oktober ini.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama telah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang, di sini, pada pukul 10.40 malam, 28 September 2022.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 30 dan 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri, Nidarahayu dan Raibafie turut berdepan 19 pertuduhan membabitkan wang lebih RM250,000.
Pertuduhan bagi ketiga-tiga itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN











