KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) mengintai sekurang-kurangnya 20 daripada 56 kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berharap agihan kerusi bagi PRN berkenaan dapat dimuktamadkan dengan segera selepas dibentangkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada masa yang akan ditetapkan oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jumlah kerusi ditetapkan oleh Amanah adalah seimbang dengan parti-parti komponen lain dalam PH. DAP pula biasaya akan minta 14 hingga 16 kerusi dan selebihnya ditandingi oleh PKR.
“Kita harap dimuktamadkan secepat mungkin kerana tarikh penamaan calon semakin hampir. Walaupun belum umum tetapi kita tahu ia akan berlaku dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN Johor,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Pagi Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) Bersama Warga Kada, di sini hari ini.
Khalid berkara, soal agihan kerusi perlu diselesaikan segera kerana PH bakal memasuki PRN Johor bukan sekadar untuk menjadi pembangkang yang kuat, sebaliknya mahu menang dengan majoriti mudah dan membentuk kerajaan negeri.
“Sehubungan itu, Amanah sendiri akan memainkan peranan di setiap bahagian jentera pilihan raya PH. Semua kawasan telah diarahkan untuk mengukuhkan organisasi serta kegiatan demi mengukuhkan PH di Johor.
“Sebagai rakan dalam gabungan politik ini, tanggungjawab kita adalah untuk memastikan kemenangan semua calon mewakili PH, tidak kira dari parti ini sendiri, PKR atau DAP,” katanya. – UTUSAN










