KUALA LUMPUR – Kumpulan legenda Indonesia, Ungu, memilih penyanyi terkenal tanah air, Marsha Milan sebagai artis jemputan khas untuk berkongsi pentas dalam konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Idea Live Arena pada 5 September depan.
Pemilihan Marsha dibuat sendiri oleh anggota Ungu yang mahukan seorang penyanyi dengan kekuatan vokal dan penghayatan emosi bagi melengkapkan atmosfera konsert bersempena ulang tahun ke-30 penubuhan kumpulan tersebut.
Menurut Ungu, mereka sudah lama mengikuti perjalanan seni Marsha dan percaya penyanyi itu mempunyai aura tersendiri yang sesuai untuk tampil bersama mereka pada malam istimewa berkenaan.
“Marsha mempunyai suara yang emosional dengan karakter yang kuat ketika menyampaikan lagu.
“Kami percaya beliau mampu membawa energi untuk malam ini dan kami benar-benar teruja untuk berkongsi pentas bersama Marsha di Kuala Lumpur,” kata Ungu.
Tambah kumpulan itu, mereka juga tidak sabar untuk mencipta momen istimewa bersama peminat Malaysia menerusi gabungan persembahan yang dijangka meninggalkan kenangan manis kepada penonton.
Pengumuman penyertaan Marsha sekali gus menambah keterujaan peminat menjelang konsert yang bakal meraikan perjalanan seni Ungu selama tiga dekad dalam industri muzik Nusantara.
Konsert berkenaan akan menampilkan himpunan lagu popular seperti Demi Waktu, Tercipta Untukku, Seperti Yang Dulu dan Cinta Dalam Hati yang menjadi antara karya paling ikonik kumpulan itu.
Selain persembahan istimewa bersama Marsha, pihak penganjur turut menjanjikan pelbagai kejutan yang dirancang bagi menjadikan malam tersebut lebih intim, emosional dan imersif.
Setakat ini, jualan tiket konsert berkenaan telah mencapai 50 peratus, sekali gus membuktikan sambutan memberangsangkan daripada peminat yang ingin menyaksikan persembahan bersejarah itu secara langsung.










