PETALING JAYA: Kaunter bergerak atau pandu lalu pengambilan dos penggalak Covid-19 perlu diperbanyak bagi membantu masyarakat mengambil dos tersebut, sekali gus memberi perlindungan kepada lebih ramai rakyat daripada penyakit berkenaan.
Pengambilan dos penggalak sangat penting untuk mengurangkan risiko masyarakat terdedah dengan jangkitan Covid-19, iaitu sebagai pelengkap kepada kadar vaksinasi dua dos yang secara langsung mampu memastikan ekonomi bergerak dengan lancar apabila imuniti masyarakat dipertingkatkan.
Kaunter tersebut boleh dilakukan terlebih dahulu di kawasan-kawasan yang menjadi antara pemangkin utama perkembangan ekonomi negara seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang agar dapat mengawal penularan jangkitan daripada mengganggu proses pemulihan tersebut.
Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Ekonomi Kesihatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak boleh menunggu masyarakat hadir tetapi sebaliknya mengambil inisiatif untuk pergi kepada rakyat.
Menurut beliau, perbanyakkan tempat pengambilan vaksin tersebut boleh dilakukan dengan kerjasama pihak swasta bagi mengurangi kos yang perlu ditanggung.
“Saya rasa kaunter pandu lalu ni pernah dilakukan di Malaysia, jadi ia boleh dilakukan semula terutama di kawasan-kawasan yang kita rasa penularan Covid-19 tinggi seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
“Selain itu kita tingkatkan lagi tempat untuk mengambil vaksin, jangan berharap hanya masyarakat datang terutama kumpulan warga emas, mereka tidak boleh datang sendiri sebab mungkin tiada siapa boleh bawakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Malaysia hanya merekodkan sebanyak 16,280,153 penerima suntikan dos penggalak pertama Covid-19 berbanding jumlah dua dos utama yang masing-masing mencatatkan lebih 27 juta orang.
Rekod turut menunjukkan dos penggalak kedua pula mencatatkan jumlah terkecil iaitu 636,861 bersamaan dua peratus dan ini menandakan sebanyak 50 peratus rakyat Malaysia belum mengambil dos penggalak Covid-19.
Dr. Sharifa Ezat berkata, sekiranya masyarakat enggan mengambil dos penggalak ia akan mendedahkan mereka kepada risiko jatuh sakit jika wujud varian Covid-19 baharu yang lebih ganas dan bahaya.
“Eloklah kita ambil dos penggalak supaya kita kurang kemungkinan sakit, kalau sakit pun tidak teruk. Itu akan menyelamatkan bukan sahaja diri sendiri tetapi kepada keluarga. Ini juga mengurangkan kita ambil cuti sakit jadi boleh terus berniaga atau bekerja,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Aawam Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Aisah Mokhtar berpandangan faktor kurangnya pengambilan dos penggalak adalah kerana negara sedang beralih ke fasa endemik.
“Masa kita perlu ambil dos pertama dan kedua, antara faktor yang mendorong masyarakat mendapatkan suntikan tersebut adalah Malaysia berada di dalam pandemik tetapi apabila masuk ke fasa endemik, dos penggalak dilihat sebagai bukan keperluan.
“Covid-19 ni sentiasa bermutasi dan jika kita lihat varian baharu ini terdapat kajian saintifik mengatakan ada kebarangkalian potensi untuk mengalahkan antibodi badan yang dihasilkan oleh vaksin diambil dahulu,” jelasnya. – UTUSAN










