PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) akan terus mencabar keabsahan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah meskipun beliau telah merombak Kabinet dan melantik beberapa wakil rakyat mentadbir kerajaan negeri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangannya, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN), partinya akan meneruskan usaha membuktikanHajiji sudah hilang kelayakan sebagai ketua kerajaan selepas ‘tidak lagi bernaung di bawah parti politik’.
“Masalah sekarang ini melibatkan Perlembagaan negeri. Mereka sudah bersumpah di dalam dewan akan mempertahan dan melindungi Perlembagaan. Akhirnya, sekarang ia berlaku. Di mana sumpah beliau untuk mempertahankannya?
“Tidak pernah berlaku dalam sejarah, seorang Ketua Menteri daripada Bebas dan bukan parti politik. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan parti politik, ia cuma gabungan. Buktinya, Datuk Maximus Ongkili masih Presiden PBS (Presiden Parti Bersatu Sabah). Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan masih Presiden STAR (Parti Solidariti Tanah Airku).
“Kami akan tetap suarakan hal ini dan terserah kepada rakyat menilainya. Warisan berperanan sebagai parti yang memastikan perlembagaan negeri dipertahankan. Kami memastikan semak dan imbang itu ada. Sekarang ini perlanggaran perlembagaan telah pun berlaku,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, Hajiji mengumumkan pelantikan Kabinet yang baharu antaranya dua wakil rakyat UMNO iaitu ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmy Yahya dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib. Mereka antara lima wakil rakyat menyokong pentadbiran Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.
Shahelmy dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, menggantikan Bung Moktar manakala James dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.
Belum sampai satu penggal DUN Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, politik negeri itu masih tidak stabil selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Mengulas lanjut, Mohd. Azis menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan semua pihak mengikuti undang-undang selaras slogan ‘reformasi’ yang sering dilaungnya.
“Untuk membawa perkara ini ke mahkamah akan mengambil masa lama. Walaupun tamat satu penggal DUN atau Parlimen, ia belum tentu selesaikan.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab Perdana Menteri untuk pastikan apa yang diperjuangnya selama ini ditunaikan. Beliau mesti menasihati Hajiji dan membetulkan apa yang salah dari segi undang-undang,” katanya. – UTUSAN










