Tubuh segera Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan

Tubuh segera Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan

DR. ZAINAL ARIFFIN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hanya menerusi penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dapat menyelesaikan isu skim perkhidmatan kesihatan di negara ini sekali gus mengelakkan lebih ramai pakar dan pegawai perubatan berhijrah ke luar negara.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, gesaan bagi penubuhan suruhanjaya tersebut telah lama disuarakan supaya transformasi sistem kesihatan negara dapat dilaksanakan termasuk daripada skim perjawatan.

Beliau yang juga Tokoh Kesihatan Awam berkata, skim perjawatan termasuk gaji dan latihan untuk golongan profesional kesihatan ketika ini masih bergantung kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang turut bertanggungjawab bagi jawatan perkhidmatan awam lain.

“Isu doktor-doktor pakar dan pegawai perubatan berhijrah ini bukan isu baharu, perancangannya untuk dilaksanakan transformasi sistem kesihatan termasuk dalam hal perjawatan. Bagaimanapun ketika ini ia bergantung kepada JPA yang turut perlu melihat perjawatan lain.

“Penambahbaikan dalam gaji dan latihan contohnya tidak dapat dilakukan kerana ia di bawah skim JPA yang mempunyai kuota-kuota tertentu. Keadaan ini tidak menggembirakan doktor-doktor kita, skim sedia ada perlu keluar dari sistem JPA” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Akhbar ini semalam menerusi kolum Minda Pengarang oleh Mohamad Azlan Jaafar mempersoalkan langkah kerajaan dalam menangani isu pakar-pakar perubatan negara yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke luar negara.

Bulan lalu, Hartal Doktor Kontrak turut menggesa kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara dalam tempoh lima tahun pentadbirannya.

Penubuhan suruhanjaya itu menurut jurucakap gerakan itu, Dr. Muhammad Yassin, adalah bagi menangani masalah dihadapi doktor-doktor perubatan yang masih berstatus kontrak di dalam Kementerian Kesihatan, sekali gus membantu perkembangan kerjaya mereka dalam bidang perubatan.

Sementara itu, Dr. Zainal Ariffin berkata, tiada lagi alasan untuk tidak merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan ke­rana kajian mengenainya te­lah lama dilakukan.

“Ia mesti diselesaikan dalam masa dua tahun ini, jika tidak ia akan terlalu lambat dan kerajaan kena bersedia untuk masalah ini terus berlaku. Tidak perlu kajian lagi kerana ia sudah berlaku berpuluh tahun.

“Suruhanjaya ini nanti bukan hanya melibatkan pegawai perubatan di bawah Kementerian Kesihatan tetapi doktor di universiti-universiti yang mana keadaan mereka lebih teruk berbanding doktor di kementerian serta doktor-doktor swasta.

“Kesemuanya perlu digabungkan menerusi penubuhan suruhanjaya ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN