Tiada kes baharu jangkitan ASF di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Tiada kes baharu jangkitan ASF di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (kanan) ketika merasmikan kempen hari tanpa tunai bagi jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di George Town, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Tiada kes baharu jangkitan ‘African Swine Fever’ (ASF) atau demam babi Afrika dikesan di ladang-ladang ternakan babi di seluruh negeri ini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kes jangkitan ASF di Pulau Pinang itu setakat ini adalah dalam keadaan terkawal.

”Tiada kes baharu setakat ini dan dua kes dikesan di ladang di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) sahaja.

”Kita memantau dengan rapi situasi jangkitan pada masa ini bagi mengelakkan ia merebak ke tempat lain,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran kempen hari tanpa tunai bagi jabatan dan agensi Kerajaan Negeri di Pulau Pinang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar dan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo

Pulau Pinang kini merekodkan dua kes jangkitan ASF selepas dua ladang babi di daerah SPS dikesan positif wabak berkenaan minggu lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Sayuthi berkata, sebuah ladang yang dijangkiti ASF telah dibuat pemusnahan dan ladang kedua yang dijangkiti masih dalam pemantauan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Ladang kedua masih di peringkat pemantauan kerana semakan mendapati memang berlaku jangkitan, tapi bilangan kematian belum tinggi.

”Kita juga masih tunggu keputusan JPV sama ada kesemua babi di ladang ini perlu dimusnahkan dan ia akan dimusnahkan secara berperingkat,” katanya.

Menurut Mohd. Sayuthi, secara keseluruhannya, di ladang pertama yang dikesan positif ASF, sebanyak 1,500 ekor babi telah dimusnahkan.

”Di ladang kedua melibatkan 2,500 ekor babi, semalam JPV dan Pegawai Daerah SPS ada perbincangan untuk tentukan bagaimana untuk laksanakan kaedah untuk melupuskan karkas yang dijangkiti.

“Ini kerana di ladang kedua kita ada sedikit isu kerana ladang ini sedikit kecil dan tiada ruang, jadi kita perlu cari tapak baharu untuk kita tanam karkas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya