Tiada bukti penangguhan sebahagian konspirasi lengahkan rayuan akhir Najib - Utusan Malaysia

Tiada bukti penangguhan sebahagian konspirasi lengahkan rayuan akhir Najib

NAJIB Tun Razak tiba di Mahkamah Persekutuan untuk pendengaran permohonannya agar sabitan dan hukuman penjaranya dalam kes rasuah SRC International disemak semula di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada sebarang dakwaan atau bukti yang menunjukkan penangguhan yang diminta oleh peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik adalah sebahagian daripada konspirasi untuk melengah-lengahkan pendengaran rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, bukanlah sesuatu yang pelik untuk mahkamah membenarkan penangguhan atas alasan peguam baru dilantik atau telah menarik diri walaupun tarikh pendengaran telah ditetapkan lebih awal.

“Adalah penting untuk dinyatakan di sini bahawa pihak pendakwaan sendiri tidak pernah mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan penangguhan tersebut. Ini mungkin, mereka (pendakwaan) sendiri sedar bahawa permohonan penangguhan yang dibuat oleh pasukan pembelaan yang baru dilantik adalah sesuatu yang wajar.

“Oleh itu adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk Mahkamah Persekutuan untuk tidak membenarkan penangguhan untuk tiga ke empat bulan bagi membolehkan peguam yang baru dilantik (Najib) lebih bersedia.

“Secara keseluruhannya, sukar untuk memahami kenapa Mahkamah Persekutuan mengambil langkah pantas untuk mendengar dan membuat keputusan,”kata peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Tambah peguam itu lagi, Hisyam sendiri telah memaklumkan Mahkamah Persekutuan ketika itu bahawa permohonan penangguhan itu bukan salah Najib sebaliknya dibuat atas kesilapannya mengambil alih kes berkenaan pada saat akhir.

Peguam terbabit berkata demikian dengan merujuk kepada permohonan penangguhan yang ditolak oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat walaupun telah dimaklumkan bahawa peguam terbabit baru saja dilantik oleh Najib bagi menggantikan Muhammad Shafee.

Pada 25 Julai 2022, Najib menamatkan perkhidmatan Muhammad Shafee dan firma guamannya, Tetuan Shafee & Co. sebelum melantik firma guaman, Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) bagi menggantikan fima terbabit.

Tindakan Najib menukar barisan peguamnya dilakukan kurang tiga minggu daripada tarikh pendengaran rayuan akhir yang akan bermula pada 15 Ogos 2022 dan selepas permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan khidmat Queen’s Counsel (QC), Jonathan Laidlaw sebagai salah seorang peguamnya dalam rayuan akhir beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hujahan tersebut dibuat Muhammad Shafee pada prosiding semakan oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukumannya selepas didapati bersalah atas pelbagai tuduhan membabitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dalam rayuan akhirnya pada Ogos tahun lalu.

Semakan itu didengar oleh Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Terdahulu, Muhammad Shafee menyatakan perkhidmatannya telah ditamatkan selepas Datuk Zaid Ibrahim yang merupakan seorang peguam dan pernah berkhidmat di bawah kerajaan pimpinan Najib meyakinnya bahawa firma guamannya boleh memberikan perspektif baru dalam kes berkenaan.

“Pemohon (Najib) yakin dan percaya dengan nasihat yang telah diberikan. Pemohon telah diyakinkan oleh peguam dan firma guaman yang baharu dilantik bahawa Mahkamah Persekutuan akan memberikan mereka masa yang secukupnya sebelum rayuan akhir itu didengar.

“Anak guam saya telah mengubah segalanya selepas bersandarkan kepada nasihat pasukan pembelaan yang baru (ZIST). Kalau peguam bela dan peguam cara telah melakukan kesalahan, Majlis Peguam atau mahkamah sendiri boleh memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap mereka,” kata peguam itu.

Pendengaran semakan itu akan bersambung pada 20 Februari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.