HULU TERENGGANU: Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) mengeluarkan kompaun sebanyak RM80,000 kepada pemilik yang membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di daerah ini sepanjang tahun lalu.
Yang Dipertuanya, Lukema Meri [email protected] Latif berkata, jumlah kompaun itu hasil daripada tangkapan hampir 100 ekor lembu dan kambing dalam operasi menangkap ternakan berkeliaran di beberapa lokasi terutamanya jalan Pasir Tinggi-Tanggol, dekat sini.
Menurutnya, MDHT serius dan komited dalam menangani isu haiwan ternakan berkeliaran terutamanya di jalan raya, lebuh raya dan kawasan taman perumahan.
“Kita tidak krompomi kerana ia turut libatkan nyawa, undang kemalangan maut.
“Setiap bulan kita terima lebih lima aduan berhubung haiwan ternakan berkeliaran antaranya di Kampung Tapu, Tanggol, Pasir Tinggi dan Kampung Dusun,
“Selain operasi secara berkala serta mengejut, kita turut hadir ke rumah pemilik sebagai usaha tingkatkan kesedaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-41 MDHT dan Sesi Ikrar Bebas Rasuah MDHT, di sini hari ini
Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid.
Selain itu, Lukema Meri berkata, pihaknya juga sedang mengkaji semula kadar kompaun sebanyak RM750 seekor lembu yang dikenakan ketika ini.
“Melalui undang-undang kecil peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mungkin akan dinaikkan hingga RM1,000 seekor untuk didik penternak lebih bertanggungjawab,” katanya.
Tambah Lukema Meri, kadar kompaun bagi kambing dikenakan kepada pemilik ketika ini ialah RM500.
Selain itu, tambahnya, pihak PBT juga akan mengambil inisiatif membuat perangkap kerbau untuk menangkap haiwan yang berkeliaran. – UTUSAN