SWM perkasa kerjasama dengan IPT

SWM perkasa kerjasama dengan IPT

MOHD. NORLISAM MOHD. NORDIN (duduk, kanan) dan Ruzairi Abdul Rahim memeterai MoU antara UTHM dan SWM di Kampus UTHM Pagoh, Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR:  Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd., (SWM Environment) berhasrat memperkasa jalinan kerjasama dengan semua institusi pengajian tinggi (IPT) yang berada di kawasan seliaannya.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, hubungan strategik itu berupaya memantapkan lagi kelestarian alam dalam kalangan penuntut, sekali gus menanam kesedaran kepada kumpulan komuniti.

Setakat ini, IPT yang bekerjasama dengan pihaknya ialah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Negeri Sembilan.

Walau bagaimanapun, UTHM adalah yang pertama memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan SWM susulan kejayaan IPT itu mengumpulkan ribuan kilogram (kg) barangan kitar semula hasil kerjasama sejak 2019.

“Sejak tahun 2019 hingga kini, SWM melaksanakan lebih 30 program kerjasama dengan UTHM di cawangan Batu Pahat dan Pagoh serta berjaya mengumpul sebanyak 2,873 kg barangan kitar semula melibatkan 1,123 penuntut.

“Bukan hanya melibatkan hubungan pensyarah dan penuntut semata-mata, namun pelaksanaan aktiviti membabitkan kelesetarian alam ini turut didedahkan kepada penduduk kampung di sekitar sini apabila turut mengajak komuniti menyertai mereka,” katanya dalam Majlis Menandatangani MoU Antara UTHM dan SWM di Kampus UTHM Pagoh, di sini.

Katanya, sokongan daripada kumpulan itu penting dan diharap hubungan strategik seumpamanya turut dapat dikembangkan di semua IPT di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, hubungan universiti dengan syarikat konsesi tersebut akan terus dimantapkan menerusi pelbagai aktiviti berkaitan dalam usaha menjaga alam sekitar.

“Kami menerusi Fakulti Kejuruteraan Teknologi Elektrik yang merupakan pengelola bagi jalinan kerjasama ini akan turun padang ke sekolah-sekolah di sekitar Muar untuk memberikan ceramah serta aktiviti berkaitan seperti kitar semula dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya