Sultan Nazrin hadiri sambutan Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin hadiri sambutan Tahun Baharu Cina

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah dan Tuanku Zara Salim menyaksikan persembahan Tarian Singa pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Perak di LWOT di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di taman tema air, Lost World Of Tambun (LWOT) di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Aezer Zubir.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenaan menggaul ‘yee sang’ dan menyampaikan angpow kepada 66 orang anak yatim daripada tiga buah rumah anak yatim di Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping.

Majlis santapan diiringi persembahan antaranya daripada Kumpulan Selendang Perak, Pertubuhan Kebudayaan dan Orkestra Cina Ipoh dan Chinese Chin Woo Athletic Association.

Sempena sambutan itu, lebih 40,000 pengunjung berbilang kaum membanjiri taman tema itu dengan ada daripadanya hadir seawal pukul 10 pagi.

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berkata, pandemik Covid-19 telah menghadirkan hikmah yang cukup besar buat rakyat bahawa sehebat mana pun cabaran dan dugaan yang dihadapi, ia mampu diharungi dengan semangat perpaduan dan kebersamaan.

Katanya, nilai-nilai itulah yang menjadi kunci kepada kelangsungan negara tatkala berhadapan liku dan cabaran semasa yang semakin rencam.

“Meskipun cengkaman pandemik kian mengendur namun banyak petanda yang membayangkan tahun 2023 akan sarat dengan ujian dan rintangan terutamanya prospek ekonomi global yang dijangka mengalami kemelesetan sekali gus mencetuskan segala macam ketidakpastian.

“Segala cabaran ini menuntut kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan untuk terus berganding bahu memastikan negara sentiasa berada pada paksi kestabilan supaya tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada usaha memulihkan ekonomi serta mencipta polisi yang mampu membimbing rakyat mengharungi getirnya cabaran-cabaran mendatang,” katanya.

Menurut beliau, setelah hampir tiga tahun disambut dalam suasana suram ekoran Covid-19, rakyat di negara ini kembali dapat merasai kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, sambutan perayaan itu juga menggamit semula tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka.

“Sesungguhnya, kehadiran tahun arnab yang dikaitkan dengan kepintaran, kecerdasan dan ketenangan bukan sahaja menjadi citra semangat perpaduan rakyat berbilang kaum malah menjadi simbol kesatuan kita untuk bangkit membina semula negeri dan negara daripada hambatan pandemik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya