Sindiket penipuan dalam talian tumpas di Langkawi

Sindiket penipuan dalam talian tumpas di Langkawi

ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan JIM sehingga menumpaskan sindiket penipuan dalam talian di Pulau Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Satu sindiket penipuan dalam talian yang berpangkalan di tiga buah resort di pulau ini tumpas dalam serbuan serentak yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket yang dipercayai didalangi warganegara China itu merekrut warga tempatan bagi menjalankan kegiatan terbabit di resort yang dipercayai tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

KHAIRUL DZAIMEE DAUD

“Hasil siasatan awal terhadap rakyat Malaysia yang ditahan dalam operasi ini mendapati mereka dibayar sehingga RM3,000 sebulan dan komisyen sebanyak RM15 bagi setiap orang yang berjaya direkrut.

“Seramai 30 orang warganegara asing terdiri daripada 27 rakyat China, dua Thailand, seorang warga Myanmar serta 134 orang warganegara Malaysia ditahan dalam serbuan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Lubuk Semilang, di sini.

Beliau berkata, JIM turut merampas 756 buah telefon bimbit, 150 buah komputer termasuk komputer riba serta pelbagai peralatan elektronik lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

Jelasnya, berdasarkan siasatan awal sindiket terbabit dipercayai menjadikan resort-resort tersebut sebagai pusat operasi dan tempat untuk melatih ahli-ahli sindiket baharu bagi dijadikan sebagai operator kegiatan tersebut.

“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi hampir setahun dan sering kali berpindah-randah bagi mengelak aktiviti mereka dihidu oleh pihak berkuasa.

“Sebanyak 17 pasport China dirampas dan semakan mendapati mereka menggunakan pasport baharu yang tidak mempunyai rekod perjalanan selain menggunakan pas rawatan perubatan, manakala selebihnya tidak mempunyai dokumen yang sah,” ujarnya.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu dianggarkan memerlukan RM800,000 sebulan untuk menampung kos operasi yang digunakan bagi membayar gaji, kos penginapan, sewa dewan dan pelbagai kemudahan lain yang digunakan mereka.

Menurut beliau, pihaknya juga akan melakukan siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga pemilik resort terbabit.

Kesemua warganegara asing tersebut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966, manakala kesemua warga Malaysia akan diberikan Borang 29 dan ditahan untuk siasatan lanjut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya