
TAPAH: Seorang belia di Kampung Batu Enam di sini berjaya memulihkan kolam ikan terbiar yang kini diusahakan secara komersial untuk jualan dan sebagai pembekal benih ikan.
Ahmad Muttaqin Khairul, 31, berkata, kolam ikan tersebut terbiar selepas datuknya meninggal dunia.
Katanya, sebelum memulihkan kolam tersebut, dia yang merupakan pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pertanian) Politeknik Kota Bharu, Kelantan bekerja di syarikat telekomunikasi dan kilang untuk mengumpul modal bagi menyambung projek ternakan ikan arwah datuknya.
Dia mengusahakan akuakultur dengan konsep kolam tanah, simen dan fiber sejak tahun 2018 dengan penekanan terhadap dua jenis kaedah iaitu ikan untuk makan dan pembekalan benih.
“Kedua-dua kaedah ini mampu menjana pendapatan yang stabil sehingga mencecah empat angka sebulan, merangkumi pelbagai jenis ikan seperti ikan keli, tilapia merah, baung, patin, lampam dan puyu.
“Dalam satu masa, terdapat kira-kira 7,000 ekor ikan bagi menampung permintaan pelanggan dari seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Cameron Highlands, Pahang. Saya berbangga kerana membekalkan ikan yang menjadi sumber makanan pelancong tempatan dan antarabangsa di kawasan Cameron Highlands,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, dia menerima bantuan dalam bentuk geran, pinjaman tanpa faedah serta peralatan daripada Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Yayasan Perak dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) membolehkannya mengembangkan lagi perniagaannya selain kawalan modal dan operasi secara efektif.
Menurutnya, semua agensi tersebut juga memberikan tunjuk ajar, khidmat konsultansi serta pemasaran secara berterusan membuatkannya lebih bersemangat.
“Malah, mereka juga menggalakkan saya menggunakan teknologi canggih untuk mengurangkan kos pekerja dan lebih progresif pada masa depan,” katanya.
Perkembangan itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche Daerah Batang Padang iaitu Agromakanan Perak – Lembah Makanan Negara.
Bantuan itu juga selaras dengan flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.
Ahmad Muttaqin yang juga imam di Masjid Al-Mukmim, Kampung Batu 3, Jalan Pahang di sini mempraktikkan teknologi moden iaitu FishSpeak iaitu berdasarkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) untuk penternakan ikan secara pintar.
Mengusahakan kolam ternakan seluas 0.80 hektar, dia turut memaksimumkan penggunaan media sosial TikTok sebagai kaedah pemasaran bagi mendapatkan pelanggan.
“Pada masa depan saya ingin membuka restoran ikan dan resort kerana lokasi penternakan ini berdekatan dengan Cameron Highlands agar pelancong dapat singgah dan bermalam di Tapah.
“Selain itu, saya ingin mengusahakan produk secara sejuk beku dan retort supaya pembeli dapat merasai keenakan daging ikan yang manis, tidak hanyir serta segar di kediaman masing-masing,” katanya. – UTUSAN










