GEORGE TOWN: Seramai 19,439 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Pulau Pinang memulakan peperiksaan bertulis hari ini dengan 154 pusat peperiksaan disediakan di seluruh negeri.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, seramai 1,505 petugas peperiksaan termasuk 202 sukarelawan dilantik bagi mengendalikan peperiksaan yang berlangsung selama empat minggu sehingga 17 Disember ini.
Beliau berkata, Seberang Perai Utara mencatatkan jumlah calon tertinggi iaitu 5,169 orang, diikuti Timur Laut (4,896), Seberang Perai Tengah (4,732), Seberang Perai Selatan (2,621) dan Barat Daya (2,021).
”Daripada keseluruhan calon berkenaan, seramai 17,406 orang atau 89.5 peratus merupakan calon sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) manakala selebihnya terdiri daripada calon MRSM, sekolah swasta, persendirian dan sekolah menengah agama rakyat.
”Sebanyak 154 pusat peperiksaan dikenal pasti di seluruh negeri dengan daerah Timur Laut mempunyai jumlah tertinggi iaitu 47 pusat, diikuti Seberang Perai Utara (38), Seberang Perai Tengah (35), Seberang Perai Selatan (19) dan Barat Daya (15),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas meninjau persediaan calon-calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al-Mashoor di sini hari ini.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 16 pusat peperiksaan disediakan di hospital bagi membolehkan calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan di dewan sekolah atas faktor kesihatan tetap mendapat peluang menduduki peperiksaan.
”Setakat hari ini, seramai 13 calon dikenal pasti akan menduduki peperiksaan di hospital, termasuk tiga calon di daerah Timur Laut, tiga di Seberang Perai Utara dan tujuh di Seberang Perai Tengah.
”Menariknya, tiga daripada calon di Seberang Perai Tengah merupakan murid yang mengikuti pembelajaran di Sekolah Dalam Hospital, Hospital Seberang Jaya,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan menghadapi kemungkinan bencana sepanjang tempoh peperiksaan, beliau berkata, JPN Pulau Pinang mengaktifkan beberapa operasi khusus termasuk Operasi Payung bagi menghadapi risiko banjir, Operasi Topeng (jerebu), Operasi Gempa (bencana alam) dan Operasi Wabak (penyakit berjangkit).
Katanya, penyelarasan turut dibuat bersama agensi berkaitan bagi memastikan sebarang gangguan seperti banjir, bekalan elektrik terputus atau laluan ke pusat peperiksaan terjejas dapat ditangani segera tanpa menjejaskan peluang calon menduduki peperiksaan.
Sementara itu, katanya, seramai 3,128 kanak-kanak berusia lima tahun telah memohon untuk memasuki tahun satu pada usia enam tahun di Pulau Pinang bagi sesi persekolahan 2027.
Mohamad Dziauddin berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 21,944 permohonan kemasukan tahun satu yang diterima setakat ini.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 18,816 permohonan melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun manakala selebihnya adalah kanak-kanak berusia lima tahun. – UTUSAN











