Suami isteri, enam anak berteduh di pondok usang

Suami isteri, enam anak berteduh di pondok usang

Pondok usang suami isteri enam anak
ROHANI Mohamed bersama suaminya Wan Azizi Wan Abdul Rahman di pondok usang yang menjadi tempat berteduh mereka sekeluarga di Kampung Benting Lintang, Besut. – UTUSAN / WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Kesempitan hidup memaksa sepasang suami isteri ber­sama enam anak me­reka menjadikan sebuah pondok usang di Pantai Benting Lin­tang, di sini, sebagai tempat tinggal mereka.

Pasangan Rohani Mohamed, 34, dan Wan Azizi Wan Abdul Rahman, 35, memberitahu, me­reka tinggal di pondok itu sejak September lalu apabila terpaksa keluar daripada rumah sewa sebelum ini.

Rohani berkata mereka bersama enam anak berusia tiga hingga 16 tahun memilih berpindah ke pondok berkenaan ke­rana tidak mahu terus membebankan adik-beradik yang tu­rut berdepan kesulitan hidup.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Adik-beradik pun masing-ma­sing menyewa dan mempunyai tanggungan sendiri. Saya tidak mahu terus menyusahkan mereka, disebabkan itu kami re­la hidup seperti ini.

“Meskipun begitu, sebagai ibu saya juga sedih apabila mendengar anak-anak merintih, tetapi saya tiada pilihan lain. Kami memang tidak mampu me­nyewa rumah dengan pendapatan yang tidak menentu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Jelasnya lagi, pendapatan sua­minya yang hanya bekerja mencari lokan tidak menentu menyebabkan mereka tidak mam­pu menyewa rumah apatah lagi menyediakan wang depo­sit untuk mendapatkan kediaman sendiri.

Rohani berkata, mereka se­keluarga kini bergantung kepa­da bantuan Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM) sebanyak RM850 sebulan bagi menampung keperluan harian termasuk perbelanjaan persekolahan anak anak.

Menurut Rohani, sebelum ini mereka pernah menerima ban­tuan sewa rumah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu namun ban­tuan itu dihentikan awal tahun ini selepas pihak berkenaan dimaklumkan keluarga mereka sudah mendapat tempat tinggal percuma.

Rohani juga memberitahu, me­reka juga terpaksa berteduh di dalam kereta terpakai milik suaminya ketika hujan.

“Saya risau keselamatan anak-anak, lebih-lebih lagi sekarang musim tengkujuh. Kalau hu­jan, kami terpaksa basah sebe­lum masuk berteduh dalam kereta.

“Anak-anak masih kecil dan saya bimbang keadaan mereka jika hujan lebat atau angin kuat,” luahnya.

Ujian berganda turut dihadapi apabila anak bongsunya menghidap asma kronik dan sentiasa memerlukan rawatan manakala dia sendiri juga mengalami penyakit sama sejak kecil.

Sehubungan itu, keluarga ber­kenaan berharap keadaan me­reka mendapat perhatian pi­hak berkaitan bagi membantu me­nyediakan kediaman lebih sesuai demi keselamatan dan kebajikan enam anaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini