PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyelesaikan segera isu pencerobohan tanah kerajaan di Bukit Malut, Langkawi bagi mengelakkannya semakin berleluasa pada masa depan.
Utusan Malaysia difahamkan, pada masa ini lebih 10,000 pendatang dari Myanmar yang kebanyakannya telah memperoleh kerakyatan Malaysia dan memiliki MyKad mendiami kawasan penempatan haram di Bukit Malut itu.
Hal ini kata sumber, mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk asal kawasan itu, yang menganggap seolah-olah ada misteri di sebalik Bukit Malut dan penceroboh di situ ‘kebal’ daripada sebarang tindakan.
“Kawasan penempatan haram tersebut dibuka di kawasan tanah milik kerajaan negeri sejak awal tahun 80-an.
“Penduduk asal Langkawi menganggap Bukit Malut sebagai misteri kerana penghuninya kurang bercampur dengan orang tempatan, walaupun kebanyakan mereka mulai terbabit dalam kegiatan ekonomi setempat termasuk memiliki perniagaan sendiri,” kata sumber di sini, semalam.
Kata sumber, antara agensi kerajaan yang terkesan akibat pencerobohan haram itu termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang memiliki tanah seluas 110.074 hektar di situ.
Katanya, kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan tanah milik agensi itu, iaitu 11 hektar kini didiami secara haram oleh warga ‘Melayu Burma’.
Menurut beliau, beberapa cadangan telah dimajukan kepada kerajaan untuk membangunkan tanah tersebut, termasuk projek Bukit Malut Eco Resort yang melibatkan pembinaan pusat tumpuan pelancong.
“Ini perlu dilakukan untuk mencegah tanah daripada diceroboh dan menjadi lebih kritikal. Sekali gus, ini menyelamatkan tanah yang ada dengan membuat sempadan untuk pelancong yang menjadi keutamaan pihak berkuasa tempatan bagi menjaga keselamatan pelancong yang datang.
“Pada masa sama, membangunkan tanah tersebut bererti LKIM boleh juga mempromosikan produk usahawan di bawah agensi tersebut,” kata sumber.
Pada 2 Julai 2021, Utusan Malaysia melaporkan penduduk Myanmar yang tinggal di penempatan haram di Bukit Malut di pulau peranginan itu semakin ‘besar kepala’ selepas mereka dikesan terus menerokai kaki bukit di kampung itu sejak awal tahun itu.
Kemudian pada 6 Julai 2021, akhbar ini melaporkan Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi mendakwa belum menerima laporan rasmi daripada pemilik tanah di Bukit Malut, mengenai penerokaan dan pembinaan rumah baharu di penempatan haram di kawasan tersebut sejak awal tahun itu.
Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi berkata, pemilik tanah di kawasan penempatan haram itu melibatkan tanah milik kerajaan negeri, LKIM dan Permodalan Kedah Berhad (PKB).
Menurutnya, pemilik tanah terlibat sepatutnya menjaga tanah tersebut kerana geran telah diberikan kepada mereka sebagai pemilik tanah.
Katanya, pihak Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi tidak boleh mengambil tindakan terhadap penduduk yang menerokai dan membina rumah di kawasan itu kerana tiada laporan rasmi diterima daripada pemilik tanah berkenaan.
Kerajaan negeri juga dikatakan mempunyai perancangan untuk memindahkan penduduk terlibat ke penempatan baharu tetapi sehingga kini belum ada perkembangan. – UTUSAN










