Saya percaya Yasmin diugut - Siti Bainun

Saya percaya Yasmin diugut – Siti Bainun

SITI Bainun Ahd Razali hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan peringkat bela diri di dalam kes mengabai dan menganiaya seorang remaja Sindrom Down. - FOTO/SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali percaya bahawa bekas penghuni rumah perlindungan itu, Yasmin Nahar Mahmood telah diugut sehingga menyebabkan saksi utama pendakwaan itu telah berpaling tadah.

Ini kerana selepas dia pulang ke rumahnya di Kondominium Irama Wangsa selepas tamat menjalani kuarantin Covid-19, Yasmin masih berada di rumah berkenaan sedangkan siasatan polis berhubung kejadian mengabai dan pengabaian itu sedang dijalankan.

Tidak cukup dengan itu, ayah gadis berkenaan juga didakwa turut menerima ugutan daripada seseorang bernama Hidayah dan pernah ‘ditakut-takutkan’ oleh seseorang yang bernama Betty Benafe.

“Yasmin masih tidak keluar dari rumah meskipun saya di hospital dan setelah pulang. Namun ayah Yasmin menerima ugutan dan pujukan daripada penghuni rumah bonda bernama Hidayah dan Yasmin pernah dengar jeritan suara lelaki memanggilnya di depan kondo.

“Seterusnya Betty Benafe yang membuat panggilan kepada ayah Yasmin dan menyamar menjadi Sufia dan menyatakan kalau bapa Yasmin tidak bawa Yasmin keluar, Yasmin akan dipenjara 20 tahun kerana mendera Bella.

“Yasmin sendiri telah membuat laporan polis tentang perkara dia takut kerana diugut dan dia bahagia dan sihat semasa tinggal dengan saya. Saya percaya beliau diugut atau dihasut yang kononnya saya akan memerangkap beliau dengan menuduh kecederaan Bella berpunca dari dia,” kata Siti Bainun ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Siti Bainun membacakan penyataannya pada hari kedua perbicaraan peringkat bela diri dalam kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down, Bella tanpa kehadiran peguam bela.

Merujuk kepada kecederaan-kecederaan pada tubuh Bella, Siti Bainun memberitahu kesan gigitan berpunca daripada pergaduhan di antara remaja Sindrom Down itu dengan seorang lagi bekas penghuni Rumah Bonda bernama Balqis.

“Kejadian gigitan ini berlaku antara Balqis dan Bella. Dua-dua sebenarnya gigit-menggigit selepas Bella pakai pencuci muka Balqis. Lepas pakai, berlari berkejar satu rumah dan kemudian masing-masing gigit satu sama lain. Saya pun tak faham kenapa Bella dengan Balqis ni tak boleh sesuaikan diri bersama. 

Peguam saya ada tanya pada Bella pasal pergaduhan dan Bella sendiri pun setuju ada gaduh dengan Balqis. Bella dengan Balqis ni macam ‘love hate relationship’. Bila gaduh saya akan tenangkan dan nasihat, dua-dua akan kena tegur dengan saya. Tapi dua-dua memang selalu ada sahaja isu yang nak digaduh,” ujar Siti Bainun.

Berhubung kesan lecuran pula, wanita itu mengulangi kenyataan bahawa melecur itu berlaku apabila termos berisi air panas tersimbah ke arah Bella ketika remaja Sindrom Down itu bergaduh dengan Balqis sekitar Mei 2021.

Ujarnya, disebabkan kejadian itu berlaku ketika pandemik Covid-19, Siti Bainun telah membeli ubat bagi merawat kesan melecur itu berdasarkan nasihat klinik dan farmasi dan luka terbabit telah sembuh dalam tempoh sebulan kecuali di bahagian pergelangan tangan.

Sehubungan itu, Siti Bainun telah membawa Bella ke Klinik Setapak dan Surgeri berhampiran rumahnya bagi mendapatkan rawatan susulan serta telah bertemu dengan seorang doktor yang tua berketurunan India yang memaklumkan kepadanya bahawa luka Bella semakin mengering.

Doktor terbabit juga telah memberikan antibiotik bagi mengelakkan jangkitan dan krim untuk disapu di luka Bella.

“Saya tidak mendera Bella. Jika benar saya berniat untuk mencederakan Bella, tidak mungkin saya akan cuba menyembuhkan Bella, tiada keperluan untuk saya bertanya kepada ahli farmasi ubat-ubatan yang sesuai untuk merawatnya dan juga menghabiskan wang ringgit bagi membeli segala keperluan dan ubat-ubatan yang terbaik dan sesuai seperti dicadangkan oleh ahli farmasi.

“Saya telah merawat Bella dengan baik sebagai ibu, dan sebagai orang biasa yang merasakan ini yang terbaik untuk anak saya dan telah membawa Bella untuk mendapatkan rawatan susulan di Klinik Setapak bagi mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 20 Februari ini. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN