Sanusi tersilap langkah tidak bubar DUN sekali PRU15

Sanusi tersilap langkah tidak bubar DUN sekali PRU15

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) Kedah beranggapan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tersilap langkah apabila tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tahun lalu.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, ‘kesilapan’ itu juga dijangka memberi peluang kepada gabungan tersebut bersama Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula negeri ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Dia (Sanusi) yakin dengan PRU baru-baru ini sebab itu dia pun tepuk dahi bahawa dia silap tak bubar (DUN) sekali dengan PRU. Bagi saya ombak tak selalu datang, tsunami tak selalu berlaku banjir, kepala air pun tak berlaku hari-hari. Begitulah juga PRU dan PRN sudah tentu ada perubahannya. 

“Saya percaya bahawa dengan apa yang ditunjukkan oleh kerajaan Perpaduan ini termasuk perubahan yang dilakukan, rakyat sudah mula berfikir tentang mereka termakan dengan tohmahan dahulu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PH Kedah, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu baru-baru ini bahawa Perikatan Nasional (PN) Kedah mampu meraih kemenangan sehingga 33 daripada 36 kerusi DUN pada berdasarkan momentum PRU15.

Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, PH Kedah menaruh kepercayaan bahawa pengundi bersedia untuk mengubah kerajaan negeri agar selari dengan Kerajaan Persekutuan demi pembangunan Kedah.

“Saya penuh yakin bahawa masyarakat dan rakyat mahu kerajaan negeri bersama dengan Kerajaan Persekutuan. Saya lihat sikap sombong Menteri Besar yang keterlaluan hingga sekarang masih tunjukkan sikap bermusuhan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu mengulas tentang kerjasama PH Kedah bersama BN untuk menghadapi PRN, kata beliau, perbincangan berkaitan akan diadakan dalam masa terdekat antara kedua-dua pihak.

“Kita belum mulakan perbincangan, kita baru mula pertemuan awal saya dan beberapa orang BN. Kami harap selepas mereka selesai Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, kita akan mulakan perbincangan dan rundingan bagaimana nak hadapi PRN.

“PH Pusat secara rasmi memaklumkan sudah boleh mulakan perbincangan berkaitan persiapan hadapi PRN termasuk mengenai pengagihan kerusi,” jelasnya.

Beliau juga percaya kedua-dua pihak akan menyelesaikan sebarang isu berhubung kerjasama tersebut termasuk memastikan tiada parti yang dominan dalam pembahagian kerusi demi menghadapi PRN kelak.

“Saya percaya perbincangan untuk semua harus terbuka bahawa kita terpaksa mengecilkan jumlah kerusi masing-masing. Sama ada BN mahupun PH, semua parti yang ada dalam gabungan itu harus terima bahawa kita tidak boleh bertanding sebagai ‘abang besar’ untuk kuasai semuanya.

 “Perlu ada pengagihan dan pembahagian. Kami (Amanah) dalam PH sudah melalui proses itu sebelum ini dan Alhamdulillah masing-masing harus berjiwa besar dan merendahkan ego,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya