RM87.9j dana Penjana Kerjaya diseleweng

RM87.9j dana Penjana Kerjaya diseleweng

Tiga peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Selasa lalu atas tuduhan kemuka dokumen palsu tuntutan insentif Program Penjana Kerjaya 2.0. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarat longgar yang ditetapkan oleh kerajaan dalam mendapatkan dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) diambil kesempatan oleh syarikat tertentu untuk mengemukakan dokumen-dokumen yang mengandungi maklumat pekerja dan program latihan palsu.

Keadaan ini dikenal pasti selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan satu operasi khas yang dinamakan ‘Op Hire’ sejak Julai tahun lalu di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia sehingga kini.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 61 syarikat disiasat dengan melibatkan tuntutan sebanyak RM87,980,757.29.

Kata beliau, sebanyak 74 individu telah ditahan dan 27 daripadanya telah didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka di bawah kesalahan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana nilai keseluruhan tuntutan palsu adalah lebih RM4.9 juta.

“Dalam kes ini, individu-individu yang didakwa sebagai kakitangan kepada syarikat suspek adalah tidak dapat dibuktikan dan program latihan juga tidak dilaksanakan sepenuhnya sebagaimana tuntutan

“Wang hasil daripada aktiviti jenayah ini berjumlah RM3 juta juga telah berjaya dilucuthakkan kepada kerajaan,” katanya di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, kata Hishamuddin, meskipun ramai suspek telah didakwa, siasatan ke atas isu ini tidak akan berakhir di sini sahaja.

Beliau menjangkakan, lebih ramai lagi suspek akan didakwa dalam masa terdekat selepas siasatan ke atas mereka selesai.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu-individu atau syarikat-syarikat yang disyaki terlibat melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana kerajaan di bawah Program Penjana Kerjaya.

“Fokus siasatan adalah syarikat-syarikat yang disyaki melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana kerajaan di bawah program ini.

“SPRM juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat dalam kes ini,” jelasnya.

Di samping itu juga, tambah beliau, sektor pencegahan melalui fungsi pemeriksaan dan perundingan juga akan menumpukan kepada penelitian amalan, sistem dan tatacara agensi-agensi awam terutamanya yang terlibat dengan pengurusan dana atau geran kerajaan bagi menutup ruang dan peluang berlakunya jenayah.

Untuk rekod, siasatan yang dijalankan melibatkan kolaborasi strategik antara SPRM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Jumlah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan untuk Program Penjana Kerjaya ini adalah  RM3.5 bilion dalam tiga peringkat iaitu Penjana Kerjaya 1.0 bermula 1 Jun 2020 sehingga  20 Disember 2020, diikuti Penjana Kerjaya 2.0 (21 Disember 2020 sehingga 30 Jun 2021), dan Penjana Kerjaya 3.0 (fasa pemulihan) iaitu dari 15 Jun 2021 sehingga 31 Disember ini.

Objektif pemberian dana Program Penjana Kerjaya ini oleh kerajaan adalah untuk merangsang ekonomi semasa tempoh pendemik Covid-19 melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan Pekerja. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN