PETALING JAYA: Kemelut politik Sabah semakin meruncing memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut campur tangan bagi mencari penyelesaian terhadap krisis kepimpinan melibatkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurut Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Yakub Khan, Anwar yang kini mengadakan lawatan kerja di Indonesia dijadual tiba ke Sabah hari ini disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, Hajiji dalam sidang akhbar petang semalam mendakwa telah memperoleh surat akuan bersumpah (SD) daripada 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Pengumuman itu sekali gus menepis dakwaan Kerajaan Negeri Sabah akan tumbang susulan sebahagian ADUN UMNO-Barisan Nasional (BN) menarik sokongan daripada Hajiji.
Dalam perkembangan sama, Yakub berkata, kedatangan Anwar dan Zahid adalah untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin Sabah bagi mencari keharmonian terhadap pergolakan yang berlaku.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan sama ada mereka yang terlibat dalam perjumpaan itu hanyalah pemimpin BN Sabah atau termasuk parti politik yang lain.
“Kita tunggu esok (hari ini) sebab Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turun ke Sabah, untuk berjumpa dengan pemimpin Sabah.
“Tujuan itu adalah mencari keharmonian, jadi kita tunggu hasil perjumpaan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, esok (hari ini).
“Masa (perjumpaan) tidak pasti lagi sebab Perdana Menteri di Jakarta, tetapi difahamkan akan terbang terus ke Sabah dari Jakarta,” katanya ketika dihubungi semalam.
Media sebelum ini melaporkan kedudukan Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai Ketua Menteri menjadi pertikaian apabila pemimpin parti-parti politik di negeri itu masing-masing menyuarakan pandangan berbeza.
Belum sampai pun satu penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, politik negeri itu masih tidak stabil apabila Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Keputusan itu dilaporkan diambil kerana BN Sabah hilang kepercayaan kepada Hajiji sebagai ketua menteri, selain mendakwa perjanjian BN dan Perikatan Nasional (PN) membentuk Kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 tahun 2020 dilanggar.
Dalam masa sama, timbul cakap-cakap Parti Warisan (Warisan) dan BN berunding membentuk kerjasama melalui ‘pintu belakang’ sekali gus menggugurkan Hajiji daripada Pejabat Ketua Menteri.
Namun, sumber paling dekat dengan Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, tiada sebarang rundingan antara Warisan dengan BN untuk membentuk kerajaan negeri baharu menggantikan GRS-BN.
Menurut sumber, pergolakan politik Sabah hanya melibatkan parti-parti kerajaan iaitu GRS serta BN dan ia tidak membabitkan Warisan yang berada di blok pembangkang.
Kata sumber, sekalipun terdapat ruang menyokong peralihan kerajaan negeri, Warisan tidak akan menuntut supaya dipilih menerajui kerajaan meskipun mempunyai jumlah ADUN lebih ramai.
“Bukankah sepatutnya rundingan perlu dibuat antara GRS, BN dan Pakatan Harapan (PH) kerana kesemua parti ini bersama-sama dalam Kerajaan Persekutuan? Sedangkan Warisan adalah pembangkang di Sabah.
“Saya tahu ADUN kami lebih ramai, tetapi dalam keadaan sekarang kerajaan negeri masih belum bertukar pun. Saya percaya kasut Bung Moktar pun masih tidak berada di Pejabat Ketua Menteri.
“Kalaulah ada cadangan siapa akan dipilih sebagai Ketua Menteri, bukan kami memintanya. Anda semua tidak dengar pun Warisan pergi ke istana mempersembah jumlah sokongan,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, partinya akan memutuskan soal kerjasama kemudian kerana perkara paling mustahak ketika ini adalah menentukan keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Bagaimanapun, Azis berkata, setakat pengetahuannya tiada sebarang perbincangan antara kedua-dua parti untuk bekerjasama kerana sidang media yang dirancang diadakan sebelum ini hanya
bertujuan memberitahu semua pihak bahawa Hajiji sudah hilang kelayakannya.
“Pembentukan kerajaan tiada dalam perbincangan, sebab mesti kembali pada undang-undang dan Perlembagaan. Jika Hajiji tidak lagi layak, barulah cerita soal bentuk kerajaan baharu,” katanya. – UTUSAN










