PN sedia terima pemimpin UMNO dipecat - Utusan Malaysia

PN sedia terima pemimpin UMNO dipecat

AHMAD Samsuri Mokhtar (dua, kanan) diberi penerangan mengenai projek pembangunan komersial D'Gate Sura Mall/Jeti, Dungun, Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Perikatan Nasional (PN) bersedia menerima pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan dipecat oleh parti itu berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.

Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, gabungan parti itu sentiasa terbuka menerima sesiapa yang layak untuk menjadi ahlinya.

“Saya percaya, kesemua yang dipecat (pemimpin UMNO) masih berkira-kira langkah seterusnya oleh kerana baru sahaja berlaku malam tadi.

“Jadi kita tunggulah, daripada mereka sendiri bagaimana langkah seterusnya (sama ada untuk memohon menyertai PN). Apa pun, PN sebagai gabungan parti yang berdaftar dan sah di sisi undang-undang, kita menerima sesiapa sahaja yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan D’Gate Sura Mall/Jeti di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, bagaimanapun setakat ini, pihaknya masih belum menerima mana-mana permohonan daripada pemimpin UMNO untuk menyertai gabungan parti itu.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti itu.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat (MKT) parti itu yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid Hamidi malam ini.

MT juga menggantung Ahli Parlimen Sembrong dan bekas Naib Presiden, Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan, Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Shariff dan Ketua UMNO Tebrau, Maulizan Bujang.

Sementara itu, mengulas mengenai permintaan Bersatu Terengganu supaya PN mempertimbangkan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ahmad Samsuri berkata, perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kita belum duduk berbincang lagi, apa pun kita boleh berbincang secara adik beradik.

“Kita akan lihat kerusi mana, di mana dan munasabah atau tidak (kerusinya yang diminta)…kita kena duduk dan bincang, bagaimanapun belum ada tarikhnya, insya-Allah dalam waktu terdekat,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.