Timbalan Speaker DUN Kelantan gembira dipecat Bersatu

Timbalan Speaker DUN Kelantan gembira dipecat Bersatu

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi menyifatkan pemecatannya sebagai ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam sebagai khabar gembira.

Mohamed Farid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas itu berkata, kebesaran Allah SWT hadir dalam berbagai bentuk dan rupa yang tidak pernah difikirkan.

Beliau berkata, dirinya menerima khabar pemecatan dari Bersatu itu sebagai berita gembira.

“Alhamdulillah, saya menerima khabar gembira, merasai dan menikmati kebebasan dari sebuah parti politik bernama Bersatu yang telah sekian lama menghalalkan hubungan sesama jenis, meruntuhkan silaturrahim sesama Muslim dan secara jelas dan terbuka mengangkat pemimpin terpalit korupsi.

“Subhanallah, saya akan terus berjuang amal maaruf nahi munkar. Mengangkat Agama Islam di bumi Kelantan dan Malaysia, memartabatkan rumpun bangsa Melayu di Tanah Nusantara ini dan meletakkan nama Malaysia ke mercu yang lebih tinggi dan terjulang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut berharap Allah meringankan segala beban yang akan terus dipukulnya bersama rakan-rakan.

“Rahmat Allah jua yang saya pohon, meringankan segala bebanan yang akan terus saya gendong bersama rakan sahabat yang sering, senada dan senafas bersama (bekas Timbalan Presiden Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Ya Allah kepadamu kami berserah, kepadamu jua kami bergantung hajat, maka rancangkanlah segala yang terbaik untuk kami semua,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN