WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat mengalu-alukan pengumuman Iran bahawa Selat Hormuz yang penting akan dibuka semula untuk laluan perkapalan.
Namun, beliau berkata, sekatan laut AS ke atas pelabuhan Iran akan terus diteruskan sehingga perjanjian damai dimeterai.
“Terima Kasih!” tulis Trump di platform Truth Social miliknya.
Beliau turut menyatakan bahawa Iran telah mengumumkan: “Dibuka sepenuhnya dan sedia untuk laluan sepenuhnya.”
Dalam mesej kedua beberapa minit kemudian, Trump berkata: “Sekatan laut akan kekal berkuat kuasa sepenuhnya khusus terhadap Iran sahaja, sehingga urusan kita dengan Iran diselesaikan sepenuhnya. Proses ini sepatutnya berjalan dengan sangat cepat kerana kebanyakan perkara telah pun dirunding.”
Trump sebelum ini memberitahu wartawan pada Khamis bahawa perjanjian damai dengan Iran sangat hampir walaupun rundingan yang diketuai oleh Naib Presiden AS, JD Vance di Pakistan pada hujung minggu lalu tidak mencapai sebarang kemajuan besar.
Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi sebelum itu pada Jumaat mengumumkan bahawa selat tersebut, yang penting bagi perdagangan global minyak dan komoditi lain, akan kekal dibuka sepenuhnya selagi gencatan senjata di Asia Barat berterusan.
Selat itu ditutup oleh Iran pada 28 Februari daripada dilalui oleh kapal-kapal kerana serangan AS-Israel ke atas negara itu sebelum gencatan senjata selama dua minggu dikuatkuasakan bermula Rabu lalu.- AFP/AGENSI










