PUTRAJAYA: Malaysia tidak boleh menjadi negara lebih baik jika isu kebocoran dan ketirisan terus berlaku membabitkan pemberian komisen dan ‘mengubah harga’ dalam pengendalian kontrak-kontrak kerajaan yang melanggar undang-undang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk itu warga perkhidmatan awam perlu berani membuat teguran terhadap pegawai atasan dan menteri-menteri termasuk dirinya sendiri yang kini memegang portfolio Menteri Kewangan jika didapati melanggar undang-undang.
“Saya tekankan, saya sendiri sudah melihat banyak keterlanjuran seumpama itu berlaku terutama di peringkat penguatkuasaan di Kementerian Kewangan.
“Bagaimanapun, perbuatan salah laku berkenaan tidak boleh disalahkan kepada penjawat awam semata-mata.
“Ini kerana terdapat minit mesyuarat yang dibuat adalah atas arahan terus daripada menteri manakala penjawat awam pula terpaksa akur kepada arahan itu,” kata beliau pada sesi Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Bulan Januari di Bangunan Perdana Putra di sini semalam
Menurut beliau, penjawat awam di bawah pentadbirannya perlu melawan sebarang ketidakpatuhan dan arahan-arahan yang membelakangkan peraturan sekalipun perkara itu dikeluarkan beliau sendiri selaku Perdana Menteri.
PEGAWAI-PEGAWAI
“Ini termasuk kalau melibatkan pegawai-pegawai di pejabat saya (JPM) dan menteri-menteri. Sebab itu arahan pertama saya minta menteri-menteri beri kerjasama iaitu semua Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) dan Ketua SUSK di Pejabat Perdana Menteri harus dalam kalangan pegawai tadbir diplomatik (PTD).
“Ini supaya penyelarasan dapat dilakukan dengan baik kerana jika mereka datang dari bahagian lain dia kurang faham,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata, kerjasama baik penjawat awam di bawah kepemimpinannya adalah demi membawa Malaysia ke arah sebuah negara yang lebih baik.
“Penjawat awam tak tahu, ada arahan terpaksa patuh, bila tak patuh mereka kena tukar, sebab itu saya harap saudara beri kerjasama (lapor ketidakpatuhan).
“Kalau ada apa-apa masalah jangan simpan, kerana kita nak memastikan negara bergerak lebih pantas, terus sampaikan kepada saya, timbalan perdana menteri atau Ketua Setiausaha Negara, menteri-menteri supaya kita dapat maklum balas yang baik,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, barisan jemaah menteri dan kumpulan penjawat awam harus keluar dari kepompong selesa jika mahu membawa perubahan dalam sistem penyampaian kerajaan demi menyelesaikan masalah rakyat.
PASUKAN
Kata Perdana Menteri, semua harus bekerja dalam sebuah pasukan lebih-lebih lagi dalam Kerajaan Perpaduan yang berbeza pandangan politik dengan belajar menerima kekuatan dan mengakui kelemahan untuk memastikan kecekapan dalam tadbir urus negara.
“Dalam apa-apa sistem mesti ada keinginan dan hasrat untuk membawa perubahan, (keluar) daripada budaya selesa, walaupun sudah menjadi menteri, Perdana Menteri, ketua pengarah perkhidmatan awam perlu ada kesediaan untuk melakukan transformasi.
“Sekiranya ada pendekatan yang lunak, majoriti bersama kita, menteri-menteri ini bukan daripada satu pasukan, tetapi untuk belajar terima kekuatan, mengakui kelemahan dan lebih penting tekad untuk negara ini harus stabil politik dan jelas hala tujunya.
“Keinginan membawa perubahan mengangkat semua martabat bangsa dan negara, kalau ada kesatuan pemikiran ke arah itu, maka saya percaya kita boleh lakukan terutama meningkatkan tahap kecekapan dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya. – UTUSAN










