Perkauman: PKR mahu peraturan pilihan raya dikuat kuasa - Utusan Malaysia

Perkauman: PKR mahu peraturan pilihan raya dikuat kuasa

PKR pilihan raya
RAFIZI Ramli menghadiri Konvensyen PKR Selangor 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: PKR mahu kempen politik yang berbaur perkauman dihentikan dan mahu melaporkan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus terhadap ucapan-ucapan pemimpin yang mengandungi unsur sedemikian.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, jentera-jentera parti akan digerakkan ke arah pendekatan tersebut dan meminta mereka melaporkan terus bantahan supaya peraturan-peraturan jelas dalam pilihan raya dikuatkuasakan.

Beliau berkata, tindakan sedemikian memberi ruang lebih banyak polemik tentang perkauman dan agama seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Walaupun sebenarnya kita boleh, sebab agak jelas dalam seksyen pilihan raya (akta) itu dan juga, salah satu sebabnya adala kita tidak mahu memanjangkan soal ucapan-ucapan berbaur perkauman yang diucapkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau berkempen (seperti) soal kristian, yahudi semua itu.

“Kita akan latih jentera kita dan beri arahan secara jelas, jadi sahaja terus buat laporan kepada SPR. Itu lebih berkesan berbanding kita fail petisyen selepas pilihan raya. Itu bukan sesuatu yang kita akan biarkan,” katanya pada sidang akhbar Konvensyen PKR Selangor 2023, hari ini.

Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan tindakan yang cenderung untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara kaum untuk mendorong pengundian boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Malah, dalam Seksyen 4A (2) pula menjelaskan, individu disabitkan dalam kesalahan tersebut tidak boleh didaftarkan atau disenarai sebagai pemilih atau dipilih dalam suatu pilihan raya dalam masa lima tahun. Jika dipilih, kerusinya hendaklah dikosongkan.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi percaya keberkesanan Kerajaan Perpaduan akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu terutama Pakatan Harapan (PH) dalam mendepani PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Fokus kita empat lima bulan ini adalah untuk menguruskan keyakinan dan kita juga akan berhadapan dengan PRN, saya tidak mahu parti diheret dengan perkara-perkara dalam pilihan raya yang lepas.

“Saya rasa, kita mahu membiarkan prestasi Kerajaan Persekutuan di Selangor, ‘bercakap’ bagi pihak kami dan fokus kepada isu kos sara hidup rakyat terutamanya. Kerana pengundi di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan merupakan celik ekonomi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.