Perbincangan isu hak milik tanah pertanian kecoh - Utusan Malaysia

Perbincangan isu hak milik tanah pertanian kecoh

SESI perjumpaan penduduk dan wakil PPPNP berhubung hak milik tanah pertanian yang diusahakan penduduk di Kampung Kinjang Baru , Chenderiang di Tapah hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Sesi perbincangan di antara penduduk Kampung Kinjang Baru Chenderiang dan wakil Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) berhubung permohonan hak milik tanah pertanian yang diusahakan oleh penduduk di sini hari ini berlaku kekecohan.

Ini berikutan penduduk tidak berpuas hati apabila masih tiada keputusan berhubung permohonan mereka terhadap hak milik tanah pertanian yang mereka usahakan.

Penduduk juga tidak berpuas hati berhubung bayaran sewa tanah pertanian tersebut kepada PPPNP.

Beberapa penduduk yang tidak berpuas hati dengan perkara itu membantah namun suasana dapat diredakan oleh penduduk lain dan anggota polis yang berada di tempat perjumpaan.

Seorang wakil penduduk, Mohamad Ayob Saad, 55, berkata, pertemuan itu diadakan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap permohonan penduduk untuk mendapat hak milik tanah pertanian yang mereka usahakan sejak 1937.

Menurutnya, tanah berkeluasan beratus hektar itu diwarisi hingga generasi keempat diusahakan dengan tanaman sawit, getah serta durian dan menjadi sumber pendapatan utama hampir 500 penduduk.

“Pada 2006, kami dimaklumkan tanah-tanah ini telah diserah milik kepada PPPNP dan penduduk yang masih mahu meneruskan perlu membayar sejumlah sewaan kepada perbadanan itu.

“Ini membuatkan kami kecewa dan kesal kerana permohonan untuk mendapatkan geran di atas tanah diusahakan telah dibuat lebih 70 tahun lalu dari generasi kedua.

“Malangnya perkara itu tidak mendapat perhatian sewajarnya,” katanya kepada pemberita di Dewan Kampung Kinjang Baru, Chenderiang di sini hari ini.

Penduduk lain, Borhan Nurddin Akashah, 48, mengakui terkilan kerana sudah berpuluh tahun berdepan dengan isu yang sama.

Menurutnya, mereka hanya mahukan hak milik tanah yang mereka usahakan sejak berpuluh tahun lalu.

“Kami berharap Menteri Besar tidak mengetepikan isu ini dan segera menyelesaikannya,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada dua orang anak, Siti Rokiah Osman, 32, berkata, tanah pertanian itu merupakan sumber pendapatan penduduk.

Katanya, dia kesal kerana pihak yang terlibat dengan tiba-tiba menolak tanah di kebunnya sehingga menyebabkan 10 batang pokok sawit tumbang.

“Mereka tiba-tiba sahaja tolak tanah di kebun saya. Katanya, nak bayar pampasan tetapi sehingga kini masih tiada apa pembayaran yang dibuat,” katanya.

Sementara itu, wakil Ahli Parlimen Tapah, Datuk S. Suriakumar berkata, perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat khas bersama agensi terlibat dalam masa terdekat.

“Kita akan duduk berbincang bersama PPPNP dan Pejabat Daerah bagi mencari cara terbaik menyelesaikan isu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya