Penguatkuasaan trafik menyeluruh di Pulau Pinang tahun ini - Utusan Malaysia

Penguatkuasaan trafik menyeluruh di Pulau Pinang tahun ini

MOHD. Shuhaily Mohd. Zain pada majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Pulau Pinang di Padang Kawad, Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban, Pulau Pinang. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan trafik secara menyeluruh bagi membendung salah laku di jalan raya tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, penguatkuasaan itu membabitkan undang-undang dan peraturan asas jalan raya yang sering diabaikan pengguna.

Jelas beliau, penguatkuasaan itu membabitkan lima fasa iaitu yang pertama memfokuskan kepada semua pegawai, anggota dan ahli keluarga PDRM negeri supaya patuh kepada undang-undang.

”Fasa kedua (Januari hingga Mac) melibatkan kumpulan sasar iaitu masyarakat dan pada fasa ini kita akan menahan pengguna jalan raya dan memberi penerangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Pulau Pinang di Padang Kawad, Pasukan Polis Marin Wilayah 1, di Batu Uban di sini.

Menurut Mohd. Shuhaily, tiga lagi fasa seterusnya (April hingga Disember) melibatkan tindakan saman terhadap pesalah trafik, tangkap atau sita mengikut kesalahan yang dilakukan.

“Seterusnya selepas tindakan diambil, polis akan meninjau keberkesanan tindakan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, polis Pulau Pinang telah menjalankan sebanyak 159 operasi samseng jalanan dengan jumlah tangkapan 108 orang sepanjang tahun lalu yang didakwa menurut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi tempoh sama tambah beliau, polis turut menjalankan 126 operasi mabuk yang mana seramai 220 orang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah manakala 1,079 buah kenderaan disita dibawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sejumlah 422,177 saman juga telah dikeluarkan sepanjang tahun lalu berbanding 377,457 saman pada 2021. Sebanyak 35,897 saman dijelaskan tahun lalu dengan jumlah kutipan bernilai RM7.5 juta berbanding 183,964 saman membabitkan RM15.10 juta pada 2021,” katanya.

Mohd. Shuhaily berkata, polis Pulau Pinang telah membuka 146 kertas siasatan tatatertib (KST) sepanjang tahun lepas membabitkan 23 pegawai, 200 anggota dan seorang pegawai awam yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri.

“KST pada tahun lalu mencatatkan penurunan sebanyak 15 peratus atau 171 kes yang  direkodkan pada 2021. Daripada jumlah tersebut 92 orang telah dijatuhi hukuman manakala 15 orang dibebaskan termasuk menerima surat teguran atau nasihat dan 52 orang pula tiada tindakan lanjut (NFA).

“Seramai 49 orang dalam tempoh menjawab representasi serta menunggu keputusan dan selebihnya iaitu 16 orang masih dalam siasatan tatatertib,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN