Pengawal keselamatan pusat tahfiz direman bantu kes lelaki maut dibelasah - Utusan Malaysia

Pengawal keselamatan pusat tahfiz direman bantu kes lelaki maut dibelasah

SUSPEK (tengah) diiringi polis untuk perintah reman di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat tahfiz direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki maut selepas mengamuk di pekarangan masjid di Pulau Melaka di sini semalam.

Perintah reman ke atas lelaki berusia 32 tahun yang bermula hari ini sehingga 5 Februari depan itu dikeluarkan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar di Mahkamah Majistret di sini.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini kira-kira pukul 8.15 pagi tadi dengan menaiki kenderaan polis sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret untuk perintah reman.

Tahanan reman itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.

Akhbar melaporkan, seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental maut apabila dibelasah beberapa pelajar tahfiz selepas mengamuk di pekarangan sebuah masjid di Pulau Melaka.

Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu berlaku selepas mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an dikatakan secara tiba-tiba memukul seorang wanita yang berada di kawasan masjid tersebut.

Saksi kejadian, Tuan Hasrol Tuan Hassan, 42, berkata, mangsa pada awalnya dilihat menunaikan solat asar seorang diri di masjid itu sebelum dia tiba-tiba mengamuk dan keluar dari kawasan tersebut.

Menurutnya, lelaki itu dilihat terus meluru ke arah seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang merupakan tukang masak di sebuah asrama berhampiran masjid berkenaan.

“Wanita itu sedang menolak motosikalnya di pekarangan masjid untuk pulang ke rumah. Lelaki tersebut dilihat bertindak memukul wanita itu yang kemudiannya sempat melarikan diri ke dalam masjid.

“Beberapa pelajar tahfiz yang menyedari kejadian itu terus memberi bantuan kepada wanita terbabit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya