Penganggur ditahan bersama hampir 3,000kg minyak masak bersubsidi - Utusan Malaysia

Penganggur ditahan bersama hampir 3,000kg minyak masak bersubsidi

S. JEGAN (dua dari kanan) menunjukkan minyak masak paket bersubsidi yang disorok di stor simpanan tidak bernombor di sebuah apartmen di George Town dalam sidang akhbar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki dipercayai pengganggur ditahan bersama 2,980 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi dalam satu serbuan di stor simpanan tidak bernombor di sebuah apartmen di Jalan Bukit Gambir, George Town, pukul 10 pagi, semalam.

Difahamkan, stor tersebut pada asalnya merupakan sebuah bilik sauna terbiar yang kemudiannya digunakan sebagai ruang untuk menyimpan minyak masak berkenaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, terdahulu, serbuan terhadap premis itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu susulan aduan yang diterima daripada orang ramai termasuk jiran kepada lelaki terbabit.

“Siasatan awal mendapati, minyak masak paket seberat 1kg setiap satu itu diperoleh tanpa lesen CSA (barang kawalan berjadual) borong atau runcit.

“Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM6,407,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Katanya, bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, ujar beliau, bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama manakala RM5 juta boleh dikenakan bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“Setakat ini, siasatan mendapati suspek berusia 40 tahun itu merupakan anak kepada pemilik premis tersebut yang tidak berada di lokasi ketika serbuan dilakukan.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk bagi mengenal pasti modus operandi yang digunakan dalam kegiatan itu selain berapa lamakah mereka telah beroperasi.

“Pada masa sama, siasatan juga masih dibuat bagi mengenal pasti bekalan minyak itu diperoleh dan kepada siapa diedarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Jegan mengingatkan mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi seperti minyak masak supaya tidak berbuat demikian jika enggan dikenakan tindakan tegas.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang ramai berhubung aktiviti penyelewengan barang berkenaan melalui beberapa saluran yang telah diuar-uarkan sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.