PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Op Kesan 6.0 bagi membendung sebarang aktiviti pencatutan susulan tekanan kenaikan kos di seluruh negara, bermula Isnin depan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi yang berlangsung sehingga 31 Ogos depan bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah dengan menjadikan peningkatan kos bahan mentah, operasi dan logistik sebagai alasan.
Katanya, langkah tersebut diambil susulan kesan berantai daripada lonjakan harga minyak mentah dunia yang dijangka memberi impak kepada rantaian bekalan dan harga barangan di pasaran tempatan.
“Pelaksanaan Op Kesan 6.0 ini bertitik tolak daripada krisis bekalan global pada awal tahun 2026 yang telah mencetuskan lonjakan harga minyak mentah dunia.
“Langkah proaktif ini diambil bertujuan untuk memantau dan memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan kos bahan mentah, operasi, mahupun perniagaan demi memperoleh keuntungan tinggi yang tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan akan melibatkan keseluruhan rantaian bekalan bermula daripada pengilang, peladang, penternak, pengedar dan pemborong sehingga ke peringkat peruncit.
Katanya, antara sektor yang menjadi tumpuan termasuk industri petrokimia, pertanian, penternakan dan perkhidmatan logistik kerana mempunyai kesan langsung terhadap kos yang ditanggung pengguna.
“Pelaksanaan Op Kesan 6.0 juga akan menggunakan pungutan data-data sedia ada yang sebahagiannya telah pun dipungut secara berkala oleh KPDN sejak tercetusnya krisis di Asia Barat.
“Sepanjang pelaksanaan Op Kesan 6.0, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan menyerahkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta 723 kepada premis yang diperiksa bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai harga jualan dan kos operasi,” katanya.
Kata Azman, notis berkenaan merupakan instrumen perundangan penting yang membolehkan KPDN mendapatkan dokumen perniagaan, maklumat kos serta invois bagi tujuan semakan dan analisis terhadap unsur pencatutan.
Katanya, peniaga yang gagal memberikan maklum balas, enggan mengemukakan dokumen diperlukan atau memberikan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang tanpa perlu menunggu keputusan akhir analisis margin keuntungan perniagaan.
“Kementerian menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi atau memberikan maklum balas terhadap Notis Seksyen 21 tersebut.
“Sekiranya hasil analisis awal mendapati wujud kenaikan peratusan keuntungan semasa yang melebihi nilai keuntungan tahun sebelumnya, dan siasatan lanjut telah membuktikan perniagaan tersebut mencatut, tindakan undang-undang akan diambil di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011,” katanya. – UTUSAN










