Pemandu langgar tembok sekolah disahkan tidak mabuk - Utusan Malaysia

Pemandu langgar tembok sekolah disahkan tidak mabuk

GAMBAR tular sebuah kereta melanggar tembok pagar sekolah Maahad Al-Ummah di Chemor, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis mengesahkan pemandu yang terlibat dalam kejadian langgar tembok pagar sebuah sekolah di Chemor di sini hari ini, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 4.30 pagi ketika lelaki berusia 21 tahun itu sedang memandu kereta jenis Mercedes Benz dari Chemor menghala ke Tasek.

Katanya, semasa sedang melalui Jalan Jelapang-Chemor, kereta dipandu lelaki itu hilang kawalan ketika cuba mengelak seekor binatang yang melintas dari kiri ke kanan jalan.

“Keadaan itu menyebabkan kereta tersebut terbabas dan melanggar tiang lampu di tengah jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tembok pagar batu Maahad Al-Ummah di kanan jalan.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu dan seorang penumpang kereta berusia 21 tahun cedera ringan dan mengalami luka-luka kecil,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kawasan kemalangan merupakan laluan selekoh dengan dua lorong dan dua hala selain permukaan jalan yang tidak rata dan berombak, berturap dan kering.

Katanya, pemandu terbabit telah pun membuat laporan polis selepas kejadian dan siasatan mendapati lelaki terbabit bebas daripada pengaruh alkohol ketika kemalangan berlaku.

“Berdasarkan siasatan, punca nahas kerana mengelak binatang melintas hingga hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Saman telah pun dikeluarkan terhadap pemandu terbabit dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya.

Terdahulu tular dalam media sosial Facebook beberapa gambar kejadian itu yang memaparkan sebuah kereta melanggar tembok sebuah sekolah di mana pemandu kenderaan dikatakan mabuk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.