Pasar lama dibangunkan jadi pasar warisan - Utusan Malaysia

Pasar lama dibangunkan jadi pasar warisan

NGA Kor Ming (kanan) menyampaikan angpau kepada peniaga pada program walkabout di Pasar Besar Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pasar awam lama di negara ini akan dibangunkan untuk dijadikan pasar warisan juga sebagai produk pelancongan.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya akan mengkaji pasar-pasar usang di seluruh negara dengan mengutamakan pasar-pasar lama supaya ciri-ciri warisannya dapat dikekalkan.

“Contohnya pasar awam bertaraf warisan negara di Taiping yang menjadi kebanggaan negeri Perak sedang dalam pembinaan yang dijangka siap pada tahun hadapan sempena ulang tahun ke-150 pasar itu. Diharapkan pasar itu dapat siap sepenuhnya dan dirasmikan ketika itu.

“Pasar yang dibina pada tahun 1875 itu mampu menjadi tarikan pelancong sebab itu mengambil masa panjang untuk mereka bentuk kerana ada ciri keistimewaaan yang kita tidak boleh sewenang-wenangnya hendak robohkan, malah kayu pun kena pilih jenis sama,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program Walkabout sempena Tahun Baru Cina di Pasar Besar Ipoh di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Noor Ihsan Che Mat dan Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Ahmad Munir Ishak.

Kor Ming berkata, pasar warisan negara akan mengekalkan ciri-ciri istimewa yang ada dan dibuat dengan teliti tanpa merosakkan reka bentuk asal struktur bangunan tersebut.

“Katakan pasar itu dibina pakai kayu cengal, kita kena cari kayu yang sama supaya ciri-ciri warisan negara itu dapat dikekalkan, pasti ia akan menjadi produk pelancongan,” katanya.

Katanya, beliau juga akan membuat lawatan di pasar warisan yang dikenalpasti termasuk Pasar Awam Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang dibina pada pertengahan 1960-an dan pernah terbakar pada 2014.

Sementara itu, Kor Ming mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja membaik pulih dan menaiktaraf Pasar Besar Ipoh yang dibina pada 1959 disebabkan keadaannya yang usang.

“Kerja membaik pulih akan dimulakan tahun ini termasuklah bagi kerosakan wayar, lantai dan longkang dan kita akan memastikan perkara asas diutamakan dahulu.

“Kemudian kita akan merancang proses menaik taraf secara keseluruhan supaya pasar awam menjadi bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja bersih tetapi mempunyai tarikan pelancong, dan peruntukan akan disediakan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya