PETALING JAYA: Malaysia bakal kehilangan lebih satu juta pakar dalam pelbagai bidang tenaga kerja dan siswazah ke negara-negara lain pada 2030 jika isu penghijrahan profesional (brain drain) tidak diatasi dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang.
Ini berdasarkan laporan Bank Dunia mengenai brain drain di Malaysia yang menunjukkan, jumlah warganegara yang berhijrah ke luar negara semakin meningkat dalam tempoh setiap 10 tahun, bermula dengan 99,306 individu pada 1990 meningkat kepada 164,884 individu pada 2000.
Angka itu meningkat kepada 276,558 individu pada 2010 dan dianggarkan kira-kira 500,000 warganegara berkemahiran tinggi bekerja di luar negara sejak 2020, satu pertiga daripada sekitar dua juta warganegara yang menetap di luar negara ketika ini.
Agensi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) turut melaporkan, hanya 5,774 individu berkemahiran tinggi pulang berkhidmat di Malaysia antara 2011 hingga 2020 menerusi Program Pakar Kembali (REP).
Antara negara yang menjadi destinasi utama pilihan warganegara untuk berhijrah adalah Singapura, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.
Malah, beberapa kajian oleh Anderson Market Analytics dan Employment Hero menunjukkan, lebih 70 peratus pelajar universiti dan pekerja tempatan daripada pelbagai bidang antaranya perubatan, perundangan, kejuruteraan, kewangan dan teknologi berminat berhijrah ke luar negara di masa akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menjangka, bilangan warganegara berhijrah ke luar negara akan bertambah dan tidak mustahil boleh mencecah sejuta juta orang menjelang 2030.
Katanya, peningkatan bilangan siswazah yang membuat keputusan berhijrah kerana wujudnya peluang pekerjaan, sumber pendapatan dan taraf kehidupan yang lebih baik berbanding negara sendiri.
“Peluang kerjaya, gaji memuaskan dan kenaikan pangkat yang lebih cepat mendorong graduan ke luar negara selari dengan pendidikan mereka yang memegang ijazah sarjana atau doktor falsafah (PhD). Mereka juga boleh dapat gaji lebih tinggi kerana nilai mata wang antara empat hingga lima kali ganda.
“Namun, di Malaysia, mereka mungkin perlu tunggu lima ke 10 tahun untuk naik pangkat dan dapat gaji tinggi. Sedangkan di luar negara, mereka boleh dapat gaji selesa dan dapat membuat simpanan yang banyak, barulah mampu untuk beli kereta dan rumah. Mereka tak mahu sekadar cukup-cukup makan,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, kos sara hidup yang tinggi di negara ini juga menjadi salah satu punca siswazah berhijrah ke luar negara.
“Kalau pendapatan tidak sepadan dan tidak sesuai dengan kos yang ditanggung, mereka tidak mahu bekerja di negara ini, sekali gus menyebabkan kerajaan kehilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Kalau kehidupan tidak selesa dengan gaji rendah, kerja tidak tetap, ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi, mereka akan lari ke luar negara,” katanya.
Justeru, Abu Sofian menggesa kerajaan supaya menangani segera isu brain drain yang dihadapi negara ketika ini bagi mengelakkan lebih ramai profesional berhijrah di masa akan datang.
“Ia satu kerugian apabila kerajaan sudah berbelanja besar untuk melahirkan siswazah terlatih, tetapi mereka berhijrah ke luar negara. Negara-negara lain yang untung, mereka tidak perlu berbelanja besar untuk mendapatkan tenaga kerja.
“Jadi, kerajaan perlu semak semula dasar sedia ada, terutama dari segi gaji permulaan dan kenaikan pangkat. Ini kena kaji balik. Kalau kerajaan dapat menyediakan pekerjaan yang bagus dan gaji yang setimpal, brain drain pasti akan berkurangan. Namun, ini perlu ditangani secara menyeluruh dan holistik,” katanya. –UTUSAN










