ATLANTA: Mesir didakwa menjadi mangsa kesilapan penggunaan sistem bantuan pengadil video (VAR) ketika tewas 2-3 kepada Argentina pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
Bekas pengadil Piala Dunia, Fernando Guerrero berkata, pengadil dan pegawai VAR melakukan kesilapan apabila membatalkan jaringan Mesir.
“Pengadil dan VAR melakukan kesilapan apabila membatalkan gol Mesir. Tiada kekasaran dilakukan ke atas pemain Argentina.
“Walaupun mereka menganggap berlaku kekasaran, insiden itu tetap tidak sepatutnya disemak sebagai sebahagian daripada Fasa Penguasaan Serangan (APP).
“Argentina mempunyai masa yang mencukupi, ruang yang luas dan pemain pertahanan mereka berada dalam kedudukan yang baik. Malah, Argentina mempunyai tiga peluang untuk merampas semula bola tetapi gagal.
“Keputusan itu jelas bertentangan dengan protokol VAR yang menetapkan pengadil hanya boleh campur tangan jika wujud kesinambungan serangan yang jelas dan pasukan yang kehilangan bola tidak mempunyai peluang munasabah untuk menguasainya semula.
“VAR dan pengadil melakukan kesilapan yang merugikan Mesir serta menyumbang kepada penyingkiran mereka,” katanya,” kata Guerrero di laman sosialnya.
Guerrero adalah sebahagian daripada pasukan pegawai perlawanan bagi final Piala Dunia 2022 di Qatar ketika Argentina muncul juara dunia.
Pada kejohanan itu, beliau bertugas sebagai pembantu VAR dalam perlawanan akhir selain mengendalikan sistem VAR bagi beberapa aksi peringkat kumpulan termasuk Denmark menentang Tunisia, Belgium menentang Maghribi dan Jepun menentang Sepanyol.- AGENSI










