Nancy mohon bajet kementeriannya ditambah lagi

Nancy mohon bajet kementeriannya ditambah lagi

NANCY Shukri (tengah) beramah mesra bersama warga kementerian KPWKM di putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat amat memerlukan peruntukan tambahan untuk menggerakkan banyak program yang dirancang.

Perkara berkenaan diakui Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri yang mengesahkan ada memohon agar Bajet 2023 dapat menyediakan lebih dana untuk kementerian itu.

“Pagi tadi, semasa mesyuarat mingguan jemaah Kabinet, saya sendiri ada merayu kepada Perdana Menteri supaya peruntukan kementerian ini dapat ditambah lagi,” katanya selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Menteri Bersama Warga Kementerian itu di sini hari ini.

Ketika pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada 7 Oktober lepas, kementerian itu diperuntukkan sebanyak RM3.4 bilion berbanding hanya RM2.6 bilion semasa Bajet 2022.

Tambahan terbesar dalam sejarah itu turut melibatkan peruntukan untuk bantuan bulanan kebajikan kepada RM2.5 bilion daripada cuma RM1.8 bilion yang disediakan tahun lalu.

Malahan, Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mencadangkan dana RM1 bilion diperuntukkan untuk membela nasib kebajikan warga emas.

Bajet 2023 itu namun tidak diluluskan susulan pembubaran Parlimen dan akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, syor untuk tambahan peruntukan kali ini disebabkan kementerian berkenaan bakal melaksanakan penstrukturan kembali di semua peringkatnya.

“Perkara ini nanti akan diperincikan dengan teliti oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff dan diharapkan dapat dilakukan pada tahun ini juga,” katanya.

Menyentuh rasional pertambahan peruntukan itu, beliau menjelaskan bahawa fungsi kementerian tersebut amat luas dengan beban tanggungjawab berat oleh semua agensinya.

Beliau memberikan contoh isu gelandangan yang setakat ini masih lagi belum ada sebarang terma jelas dalam mana-mana akta tetapi sering dirujuk kepada kementerian tersebut.

Justeru, pihaknya tidak boleh pula bersikap ‘lepas tangan’ dan menolak masalah itu kepada kementerian yang lain, namun usaha sebegini pula memerlukan sokongan sewajarnya.

Jika perlu akta sedia ada dipinda atau digubal baharu, Nancy sedia membawa perkara itu kepada Kabinet selain kerjasama merentasi pelbagai kementerian dan agensi berbeza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya