MBSP nafi 'beri muka' kepada peniaga warga asing tanpa lesen - Utusan Malaysia

MBSP nafi ‘beri muka’ kepada peniaga warga asing tanpa lesen

TANGKAP layar rakaman video yang tular di TikTok menunjukkan seorang lelaki memarahi MBSP dan mendakwa agensi PBT itu berkompromi dengan peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dakwaan yang dibuat menerusi rakaman video di aplikasi TikTok kononnya ‘memberi muka’ kepada peniaga warga asing yang tidak mempunyai lesen perniagaan sah untuk beroperasi, di sini.

Menurut MBSP, pihaknya tidak pernah berkompromi dalam membenarkan mana-mana aktiviti perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing tanpa lesen perniagaan MBSP yang sah.

Dalam hal ini katanya, tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga warga asing itu terutama di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti seperti di Taman Nagasari, Perai sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa.

Kata MBSP, beberapa tindakan proaktif serta penguatkuasaan juga telah diambil khususnya di Taman Nagasari seperti membincangkan pelan tindakan serta isu-isu berkaitan aktiviti perniagaan warga asing dalam Mesyuarat Pasukan Kerja Penyelesaian Masalah Kedai Warga Asing di Seberang Perai yang dipengerusikan oleh Ahli Majlis MBSP sendiri.

“Pasukan kerja ini kemudian bersetuju untuk menjadikan kawasan Taman Nagasari sebagai kawasan ‘pilot project’ dan tindakan penguatkuasaan
dilaporkan secara terus kepada mereka,” kata agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan di sini.

Jelas MBSP, sebanyak 15 daripada 19 premis perniagaan termasuk yang diuruskan oleh warga asing juga telah menghentikan aktiviti perniagaan mereka susulan pemantauan serta penguatkuasaan berterusan terhadap aktiviti-aktiviti perniagaan tersebut.

Tambahnya, sebanyak 13 Notis Tawaran Kompaun, 18 Notis Menghendaki Perniagaan Dihentikan, 17
tindakan penguatkuasaan rampasan serta lapan tindakan meroboh binaan tanpa kebenaran telah dijalankan pada 12 Oktober tahun lepas di Taman Nagasari khususnya terhadap premis kediaman yang menjalankan aktiviti perniagaan.

“Secara spesifiknya iaitu berhubung premis yang diadukan menerusi rakaman video TikTok tersebut, pemantauan MBSP mendapati premis itu merupakan sebuah kediaman yang tidak mempunyai kelulusan tukar guna kepada premis perniagaan dan sedang digunakan sebagai
sebuah premis perniagaan kedai makan serta barangan runcit.

“Ketika pemantauan dijalankan, terdapat beberapa warga asing sedang mengendalikan perniagaan di premis tersebut,” ujarnya.

Sehubungan itu, MBSP memberitahu, beberapa tindakan penguatkuasaan termasuk pengeluaran Notis Menghendaki Perniagaan Dihentikan, Notis Binaan Tanpa Kebenaran, Notis Mengosong serta Notis Tawaran Kompaun telah diambil sejak tahun lepas.

“MBSP juga telah menjalankan pemantauan susulan terhadap premis perniagaan ini pada 14 Oktober serta 8, 11 dan 16 November lalu dan mendapati
tiada sebarang aktiviti perniagaan sedang dijalankan kerana premis itu sedang dalam proses ubah suai.

“Pemantauan (lanjut) pada 13 Januari (Jumaat lepas) pula mendapati aktiviti perniagaan di premis terbabit masih tidak beroperasi,” katanya.

Tambahnya, MBSP akan terus menjalankan tindakan susulan selain komited dalam
melaksanakan tindakan seperti yang termaktub di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan di peringkat Majlis.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi lebih satu minit di TikTok menunjukkan seorang lelaki memarahi MBSP dan mendakwa agensi itu berkompromi dengan peniaga warga asing yang beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah daripada agensi berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya