SHAH ALAM: Sudah diserbu dahulu, kini diserbu lagi.
Demikian situasi penempatan haram oleh warga asing sekitar Setia Alam di sini seperti tidak berkesudahan, malah penghuninya didakwa bersilih ganti di kawasan yang sama saban tahun.
Lebih membimbangkan, kawasan penempatan itu diibaratkan seperti kompleks perumahan yang lengkap dengan ekosistemnya seperti kedai runcit, warung atau gerai makanan serta kemudahan lain termasuk ‘masjid dan surau’.
Selain itu, kemudahan bekalan air bersih juga tersedia tanpa diketahui sumbernya dan elektrik yang dijana menerusi mesin generator atau genset.
Malah, penduduk di tiga kawasan berkeluasan kira-kira 0.8 hektar setiap satu itu dilihat mampu hidup ‘berada’ antara mereka mempunyai kereta mewah seperti sebuah pacuan empat roda dan kenderaan utiliti sukan (SUV) berjenama.
Oleh demikian, penempatan haram tersebut dilihat seolah-olah kebal dilindungi pihak tertentu walaupun ia dibina atas tanah mempunyai pemilik sama ada berstatus pertanian dan sebagainya.
Bagi seorang penduduk yang dikenali sebagai Fendro, 44, berasal dari Flores, Indonesia berkata, meskipun mendakwa mempunyai pasport dan permit pekerjaan yang sah, dia memilih untuk tinggal di penempatan sedemikian kerana kosnya berganda lebih murah berbanding perumahan biasa.
“Saya bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan sekitar RM90 sehari, namun bergantung kepada jadual kerja, ada kerja ada gaji. Kalau tinggal di rumah pangsa atau mana-mana kos rendah, sewanya tetap mahal.
“Bila tinggal di sini, bayarannya sekitar RM40 hingga RM60 sebulan. Majikan pula tidak sediakan tempat tinggal kerana projek tidak tetap, tak selalu ada kerja. Sudah dua tahun tinggal di rumah kongsi dengan isteri yang bekerja sebagai pekerja pembersihan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Terdahulu, dia dan isterinya antara 356 warga asing yang diperiksa dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di tiga lokasi penempatan haram di Setia Alam dan Kampung Budiman.
Sementara itu, seorang lagi penduduk dikenali sebagai Osman, 54, yang turut diperiksa memberitahu, masjid di kawasan tersebut turut melaksanakan solat Jumaat serta solat sunat Aidilfitri bagi penduduk-penduduk beragama Islam.
“Iya, khutbahnya dalam bahasa Arab untuk solat Jumaat setiap minggu dan juga solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal lalu. Sudah lebih setahun saya tinggal di situ dan bekerja sebagai kerani di Setia Alam.
“Dulu saya ada pasport, tetapi sudah lama hilang. Permit pun tiada. Dulu ada, kemudian saya balik ke kampung. Kali ini datang tetapi ikut naik bot dari Batam dengan bayaran RM2,000,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Zakaria Mat Piah menjelaskan, pihaknya akan menyemak status pemilikan tanah dan kelulusan sebarang pembinaan di kawasan terlibat.
“Kita akan tengok dahulu siapa punya (tanah). Sekiranya juga tiada kelulusan (sebarang pembinaan), memang boleh diambil tindakan di bawah peraturan-peraturan MBSA.
“Kita kena bawa kepada pengurusan untuk tindakan lanjut. Jika, benar melanggar peraturan dan tindakan seterusnya adalah merobohkan binaan tersebut dan pemilik tanah juga boleh dikenakan kompaun,” ujarnya.
Februari dua tahun lalu, akhbar ini melaporkan, sebuah kawasan penempatan haram yang menjadi sarang kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) dekat Kampung Budiman, Seksyen U14, di sini digempur pasukan penguatkuasa dalam satu operasi.
Lokasi yang menjadi tapak persembunyian warga asing ‘luar radar’ itu diserbu seramai 220 pegawai dan anggota daripada JIM Selangor dan Putrajaya serta pelbagai agensi lain termasuk MBSA. – UTUSAN









