Tiga kawasan rumah kongsi diserbu, 214 PATI ditahan

Tiga kawasan rumah kongsi diserbu, 214 PATI ditahan

KHAIRRUL Aminus Kamaruddin
KHAIRRUL Aminus Kamaruddin memeriksa dokumen warga asing yang ditahan selepas didapati tinggal di penempatan haram dekat Setia Alam, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga kawasan penempatan haram yang menempatkan rumah-rumah kongsi warga asing di Setia Alam dan Kampung Budiman, di sini diserbu Jabatan Imigresen (JIM) Selangor sementara 214 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi (Ops) Bersepadu Mega, tengah malam tadi.

Malah, serbuan di Kampung Budiman sudah pun dilakukan berulang kali oleh pihak berkuasa sebelum ini, bagaimanapun ia masih berterusan dihuni oleh komuniti itu.

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, rumah kongsi tersebut sebahagian besarnya terletak di dalam ladang kelapa sawit yang dikesan masih aktif walaupun tiada lagi aktiviti pembinaan bagi menempatkan pekerja-pekerja di situ.

Katanya, dalam operasi tersebut, seramai 356 warga asing diperiksa ketika serbuan tersebut dan seramai 214 dikesan atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal tamat tempoh.

“Risikan dilakukan lebih sebulan lalu dan mendapati kewujudannya penempatan haram itu sekurang-kurangnya sejak lima tahun lalu. Kewujudannya juga agak mengejutkan apabila lengkap dengan kemudahan bekalan air dan elektrik.

“Siasatan awal pula mendapati kebanyakan warga asing disitu tinggal lebih masa berdasarkan semakan pasport yang dilakukan. Ada yang sudah tinggal lebih tiga hingga lima tahun,” katanya ketika ditemui pada operasi tersebut, di sini, hari ini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada warga 109 warga Indonesia, 26 India, 21 Myanmar, 13 Bangladesh, dua Pakistan dan Sri Lanka. Turut ditahan 13 kanak-kanak lelaki dan sembilan perempuan. Kesemuanya berusia sebulan hingga 80 tahun.

Khairrul Aminus menambah, operasi tersebut dianggotai seramai 303 daripada pelbagai agensi termasuk JIM Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Penguatkuasaan MBSA, Zakaria Mat Piah memberitahu, bagi kawasan di Kampung Budiman, semakan pihaknya mendapati pemilik di situ membenarkan tanahnya diduduki oleh warga asing dengan membina rumah kongsi.

“Masa kita buat semakan memang pemilik tanah benarkan. Kalau ikut secara logik, memang tak ada kelulusan. Jadi, kita kena buat semakan semula. Jadi, kalau tengok kebenaran, memang pemilik tanah yang membenarkan.

“Sepatutnya, pemilik tanahlah kena keluarkan (usir). Dia memasukkan (membawa masuk warga asing) tanpa kebenaran. Jadi, kalau ikut peraturan MBSA, setiap pembinaan dan pembangunan perlu mohon kepada MBSA,” jelasnya.

Dua tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan, warga asing yang berada di negara ini secara ha­ram menjadikan beberapa kawasan di Selangor sebagai penempatan tetap seperti kam­pung sendiri.

Tinjauan pemberita berhampiran Setia Alam ketika itu mendapati wujud perkampungan haram warga asing yang dipercayai sudah didiami selama 30 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN