Malaysia dipilih model rujukan haji dunia

Malaysia dipilih model rujukan haji dunia

MENTERI Haji dan Umrah Arab Saudi memuji usaha LembagaTabung Haji dalam mengendalikan kursus haji dan menjadi asas Kerajaan Arab Saudi mengiktiraf lembaga itu sebagai operator terbaik di dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dipilih menjadi model rujukan pengelolaan haji oleh Kerajaan Arab Saudi untuk diaplikasikan semua negara lain sebelum menghantar jemaah mereka menunaikan ibadah haji ke tanah suci.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, dalam pertemuan beliau bersama Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah semasa Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 baru-baru ini, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi itu kagum dengan kebolehan dan ilmu pengetahuan yang dimiliki jemaah haji Malaysia berbanding jemaah negara lain.

Menurut beliau, Dr. Tawfiq Fawzan turut memuji usaha yang dilaksanakan Tabung Haji (TH) dalam mengendalikan kursus haji dan ia menjadi asas Kerajaan Arab Saudi mengiktiraf TH sebagai operator terbaik di dunia sekali gus layak menerima Anugerah Labaittom untuk kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam.

Lebih membanggakan, katanya, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi itu bakal mengadakan lawatan rasmi ke negara ini pada 26 Februari hingga 1 Mac depan atas tujuan khusus untuk mengikuti rapat dan melihat sendiri silibus kursus haji dan akan cuba menjadikan model asas kepada negara lain untuk diterapkan kepada jemaah masing-masing.

“Selain perbincangan tentang kuota, menteri berkenaan banyak menyebut beliau tertarik khususnya berkaitan dengan kebolehan dan ilmu pengetahuan yang dimiliki jemaah haji Malaysia berbanding jemaah negara lain.

“Beliau turun ke padang dan bercakap sendiri dan menemubual jemaah haji Malaysia dan negara lain, beliau boleh nampak perbezaan ketara dari sudut pemahaman dan ilmu yang ada dalam kalangan jemaah.

“Jadi beliau berhasrat datang tengok sendiri silibus kursus haji di Malaysia, dan cuba terapkan sebagai perkara asas untuk dibawa ke negara lain bagi memastikan jemaah haji yang hadir ke Mekah bukan sekadar hadir, tapi ada ilmu pengetahuan kukuh berkaitan ibadah haji,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, di pejabat beliau, di sini kelmarin.

Mengikut rekod, TH secara keseluruhannya menyediakan lebih 500 Pengkursus Haji Tanah Air (PEKTA) dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) untuk membantu jemaah.

Mereka juga menganjurkan Muzakarah Haji setiap tahun selepas selesai musim haji bagi meningkatkan lagi keberkesanan bimbingan haji termasuk menambah baik modul kursus.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, pihak TH belum memutuskan berhubung bayaran haji yang perlu dibayar oleh seorang jemaah kepada TH, namun memberi jaminan Bantuan Kewangan Haji diteruskan untuk golongan berpendapatan rendah melalui mekanisme Bayaran Haji secara bersasar yang mula diperkenalkan pada musim haji tahun lalu.

Bayaran Haji adalah jumlah yang perlu dibayar oleh seorang jemaah kepada TH untuk membolehkannya menunaikan haji iaitu lebih rendah daripada kos sebenar menunaikan haji.

Perbezaan kos itu ditanggung sepenuhnya oleh TH melalui Bantuan Kewangan Haji atau Hajj Financial Support (HAFIS) untuk jemaah menunaikan haji buat pertama kali secara muassasah.

“TH belum bertemu saya (keputusan bayaran haji), kalau ikut proses jika ada keputusan, satu kertas perlu dibawa ke Kabinet untuk dibawa keputusan itu.

“Namun, perkara itu belum diputuskan. TH akan tengok semua sudut sebelum membuat keputusan. Kebiasaannya prosesnya sebegitu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN