Lambakan lulusan: Graduan, doktor pelatih tidak seimbang

Lambakan lulusan: Graduan, doktor pelatih tidak seimbang

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerjaya perubatan di negara ini berdepan ketidakseimbangan antara jumlah graduan dengan doktor pelatih ekoran masalah lambakan lulusan selain bertambahnya pusat pengajian perubatan swasta yang dibenarkan beroperasi tanpa kawalan dan perancangan.

Sejak 2009 hingga 2015, jumlah siswazah perubatan yang menamatkan pengajian di universiti dianggarkan 3,000 orang setahun tetapi meningkat kepada 5,000 hingga 6,000 orang setiap tahun sejak 2016 walaupun kerajaan hanya menyasarkan 4,000 lulusan setiap tahun.

Kerajaan meletakkan nisbah sasaran seorang doktor bagi setiap 400 populasi penduduk menjelang 2025, namun ratio terkini Kementerian Kesihatan adalah 1:441 sekali gus sudah mencukupi daripada jumlah sepatutnya, sedangkan bilangan doktor kontrak 26,303 orang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, ketidakseimbangan itu menyebabkan peluang siswazah perubatan menjalani latihan di hospital kerajaan terhad, malah menunggu enam bulan sehingga setahun untuk penempatan.

Katanya, masalah itu secara tidak langsung menjejaskan masa depan bakal doktor apabila terpaksa menunggu lama untuk menyelesaikan latihan siswazah selama dua tahun terlebih dahulu sebelum disahkan bergelar sebagai pegawai perubatan.

“Sedangkan mereka mempunyai laluan masa depan lebih cerah jika dapat menjalani doktor pelatih sejurus selepas tamat pengajian untuk menyambung bidang kepakaran memandangkan Malaysia berdepan masalah kekurangan doktor pakar.

“Jadi kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan perlu melihat keperluan doktor dengan jumlah graduan perubatan agar kedua-duanya dilihat seimbang. Jika tidak, jumlah graduan ramai tetapi keperluan pula tidak memadai menyebabkan mereka sukar mendapat tempat latihan siswazah, jadi ke mana mereka hendak pergi?

“Kerajaan pula menyasarkan 4,000 graduan siswazah setiap tahun agar mencapai sasaran seorang doktor bersamaan populasi 400 penduduk, tetapi jumlah terkini graduan adalah sekitar 5,000 hingga 6,000 orang setiap tahun di samping lulusan luar negara, maka ia tidak seimbang,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melalui ruangan Minda Pengarang membangkitkan isu doktor muda Malaysia yang melarikan untuk mencari peluang di negara luar.

Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan peruntukkan tambahan RM3 bilion untuk tambah doktor perubatan, merendahkan ratio jumlah doktor kerajaan dan mengurangkan tempoh menunggu pembedahan.

Mengulas lanjut, Boon Chye bersetuju sekiranya Kementerian Kewangan menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk menambah pegawai perubatan dan memperbanyak biasiswa kepada mereka untuk melanjutkan pengajian sebagai doktor pakar.

Jelasnya, negara turut mengalami kekurangan doktor pakar sebanyak 50 peratus khususnya membabitkan bidang onkologi, sakit tua dan psikiatri sekali gus menyebabkan masa menunggu janji temu pesakit antara tiga hingga enam bulan paling lama setahun.

“Namun tempoh menunggu rawatan pesakit luar dan biasa tidak berdepan sebarang masalah kerana doktor harian mencukupi berbanding doktor pakar yang masih kurang,” katanya.

Selain itu, Boon Chye mencadangkan doktor pelatih ditempatkan di hospital swasta bagi menampung lambakan graduan perubatan sekali gus dapat mengurangkah kebergantungan kepada fasiliti kerajaan yang terhad.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu pernah dibangkitkan ketika beliau menjadi Timbalan Menteri Kesihatan namun gagal kerana tidak mendapat kerjasama membabitkan dalam kalangan pengendali hospital swasta.

“Secara umumnya perlu ada kesungguhan di peringkat kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini untuk menjamin sistem perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN