Kos haji swasta naik 20%

Kos haji swasta naik 20%

Pakej haji swasta dijangka mengalami peningkatan antara RM7,000 ke RM10,000 tahun ini ekoran kenaikan kos penginapan dan pengangkutan di tanah suci.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos pakej haji swasta dijangka meningkat kira-kira 20 peratus tahun ini ekoran kenaikan caj perkhidmatan, pengangkutan dan penginapan.

Pakej haji swasta itu dikatakan bakal naik antara RM7,000 ke RM10,000 disebabkan peningkatan kos tersebut di Mekah dan Madinah.

Malah, pada Oktober lalu, Tabung Haji telah menjangka kos terus meningkat sekitar RM31,000 seorang pada tahun ini, setelah kos haji muasassah meningkat daripada RM25,540 kepada RM28,632 tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah menjelaskan, peningkatan kos tidak dapat dielakkan kerana ia bergantung kepada kos yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Namun, katanya, peningkatan itu wajar dikaji secara terperinci bagi mengenal pasti kesannya terhadap jemaah haji.

“Perlu kaji semula kos yang akan ditanggung jemaah B40 dan M40, berapa subsidi yang perlu ditanggung. Yang kaya tak payahlah bagi subsidi seperti disarankan Perdana Menteri.

“Tetapi dikhabarkan Tabung Haji akan menaikkan jumlah subsidi, ini perlu diberi perhatian kerana ia juga akan memberi kesan kepada syarikat pengelola jemaah haji,” katanya ketika dihubungi.

Setakat ini, sebanyak 20 syarikat memiliki lesen pengelola jemaah haji (PJH) turut menawarkan perkhidmatan haji antaranya TH Travel and Services, Andalusia Travel & Tours dan Rayhar Travels.

Tahun lalu, pakej yang ditawarkan oleh beberapa pengelola jemaah haji seperti Andalusia Travel & Tours adalah antara RM38,490 hingga RM51,990, TH Travel menawarkan pakej antara RM61,990 hingga RM159,990 sementara CS Holidays menawarkan pakej antara RM45,000 hingga RM85,000.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun KC Ahmu menjangka peningkatan beberapa peratus terhadap kos haji tahun ini berdasarkan beberapa faktor.

Katanya, ia disebabkan kos pengurusan, kadar cukai nilai tambah (VAT), kenaikan kos visa pekerja dan beberapa faktor lain.

“Ia juga termasuk peningkatan jumlah jemaah terutama kapasiti penginapan di Arafah dan Mina kerana Arab Saudi mengembalikan kuota jemaah kepada negara masing-masing dan keadaan kembali seperti sebelum era Covid-19.

“Walaupun kos meningkat, ia tidak akan meningkat luar biasa tinggi dan peratusan kenaikan itu munasabah kerana kos haji masih terkawal,” kata­nya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Citra Travel & Tour Sdn. Bhd Mohd. Athif Mohd. Kamel meramalkan kos menunaikan haji pakej swasta tahun ini akan mencecah sehingga RM50,000 seorang.

Menurutnya, pertambahan kos itu susulan peningkatan tiket penerbangan dan per­belanjaan sepanjang 40 hari mengerjakan ibadah berkena­an di tanah suci.

“Peningkatan kos ini amat mengejutkan kami selaku syarikat pengendali perkhidmatan. Untuk musim ini, saya jangka akan berlaku peningkatan sehingga 30 peratus untuk ibadah haji.

“Pada musim haji lalu, kami menawarkan pakej ekonomi bernilai RM39,990 untuk empat orang jemaah sebilik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN