PETALING JAYA: Tiga pemimpin sayap UMNO dilihat memerlukan muka baharu dalam mendepani masa depan parti teutama selepas dipertanggungjawabkan atas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.
Ketiga-tiga pemimpin berkenaan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan selaku individu penting memainkan peranan dalam jentera pilihan raya tidak boleh ‘cuci tangan’ di atas rekod buruk yang menyaksikan kerusi UMNO tinggal 27 kerusi berbanding 41 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Asyraf Wajdi mungkin tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda kerana sudah berusia 46 tahun, begitu juga Zahida berumur 43 tahun, tetapi mereka berhak untuk tidak menawarkan diri bertanding mana-mana jawatan dalam parti.
Lebih mengejutkan Asyraf Wajdi dan Zahida masing-masing kecundang di kerusi Parlimen Gerik dan Parlimen Padang Besar iaitu kerusi kubu UMNO sendiri manakala kemenangan Noraini di Parit Sulong pula merosot berbanding pilihan raya lalu.
Pengunduran mereka secara tidak langsung akan membuka peluang dan laluan kepada kehadiran muka-muka baharu untuk bertanding dan menduduki jawatan itu sekali gus berupaya memberi nafas baharu kepada parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 sejajar dengan rancangan peremajaan UMNO.
Sebaliknya jika mereka masih enggan mengalah dan mengatakan tidak bersalah, maka lebih mengejutkan sekiranya jumlah 27 Parlimen itu boleh berkurangan sehingga ke satu angka, iaitu bayangan ngeri yang mahu dielakkan ahli dan penyokong setia UMNO.
Seperti mana kata tokoh Veteran UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, bukan sahaja ahli-ahli UMNO, malah rakyat sendiri akan meninggalkan parti itu jika gagal membawa nafas baharu setelah kekalahan besar ketika pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.
Beliau justeru mengingatkan pemimpin UMNO yang kalah pada PRU15 tidak bertanding dalam pemilihan parti akan datang dan memberi laluan kepada pelapis baharu.
Malah seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad memberitahu, UMNO perlu membuka jawatan presiden dan timbalan presiden serta semua jawatan lain untuk dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun depan sebagai satu respons kepada ‘kekalahan’ BN dalam PRU15.
Bagaimanapun yang menjadi persoalan sehingga kini, siapakah bakal pelapis untuk mengisi kedudukan Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri jika ketiga-tiga nama ini tidak bertanding? Untuk menjawab soalan ini, ia terserah kepada kebijaksanaan ahli untuk mengangkat individu sesuai bagi menggalas jawatan pemimpin sayap berkenaan.
UMNO perlu berubah bukan sahaja daripada lapisan tampuk kepimpinan tetapi juga pembawaan agar kembali diterima rakyat atau dalam erti kata lain, peremajaan ini bermaksud membawa pemimpin baharu dan menonjolkan idea-idea yang lebih segar dan sesuai dengan keadaan sekarang.
“Ini perlu dilakukan UMNO jika mahu dilihat relevan pada pandangan mata rakyat, jika parti masih kekalkan pemimpin sama khususnya dalam kalangan mereka kalah PRU, ahli sendiri dan rakyat akan tinggalkan wadah perjuangan ini,” ujar Muhammad. – UTUSAN










