PUTRAJAYA: Kerajaan melaburkan separuh iaitu RM7 bilion daripada RM14 bilion wang terkumpul dikategorikan wang tidak dituntut (WTD) dalam Simpanan Tetap selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957.
Jumlah RM14 bilion WTD itu adalah setakat akhir tahun lalu diserahkan oleh pelbagai entiti kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) sebagai pemegang amanah.
Daripada jumlah itu, RM3 bilion WTD telah dibayar balik kepada penerima yang berhak, menjadikan baki simpanan JANM adalah RM11 bilion.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut, JANM, Kalthom Salim berkata, WTD ialah wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada pemilik yang sepatutnya berdasarkan tiga kategori dalam tempoh masa tertentu.
Tempoh itu adalah tidak kurang satu tahun, dua tahun dan tujuh tahun seperti mana ditetapkan Akta WTD 1965.
Pemilik WTD melibatkan pelbagai pihak iaitu individu, syarikat, pertubuhan dan pelbagai organisasi.
“WTD tidak dapat diserahkan kepada penerima kerana tiada tuntutan dibuat oleh empunya walaupun pelbagai usaha diambil JANM seperti penyediaan kaunter di setiap JANM negeri atau cawangan, hebahan melalui media cetak dan media sosial.
“Bagaimanapun sekiranya ada tuntutan, JANM menyerahkan WTD kepada penerima dengan nilai paling tinggi yang dituntut dan telah dibayar setakat ini bernilai RM6 juta, manakala nilai paling rendah bernilai 1 sen,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Kalthom berkata, kategori pertama WTD ialah wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh masa tidak kurang setahun.
Bayaran wang itu seperti gaji, upahan, bonus, komisen dan wang lain yang kena dibayar kepada kakitangan.
Selain itu ialah wang dividen; keuntungan yang diisytiharkan untuk dibahagikan; tuntutan insurans yang diluluskan untuk bayaran; bank draf, cashier’s order dan dokumen lain yang mempunyai fungsi serupa di mana tempoh sah lakunya telah luput.
Contoh lain ialah simpanan tetap (tanpa arahan pembaharuan automatik) yang telah matang; cagaran dan deposit apabila tujuan wang itu dikutip telah tercapai dan pemiutang pelbagai atau penghutang pelbagai berbaki kredit.
Kalthom berkata, kategori kedua pula ialah wang dalam kredit sesuatu akaun yang tidak dikendalikan oleh empunya dengan apa cara sekalipun dalam satu tempoh masa tidak kurang tujuh tahun.
Contohnya ialah wang akaun simpanan; akaun semasa dan simpanan tetap (yang mempunyai arahan pembaharuan automatik).
“Kategori ketiga ialah wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang tidak dikendalikan melalui apa-apa urus niaga dalam satu tempoh masa tidak kurang dua tahun seperti akaun pemiutang dagangan dan akaun penghutang dagangan berbaki kredit,” katanya.
Orang ramai boleh menyemak WTD melalui portal https://egumis.anm.gov.my/ atau melalui Kaunter WTD di Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) seluruh Malaysia.
Mereka juga boleh menyemak melalui Warta Kerajaan yang dicetak Percetakan Nasional Berhad (PNB) dan disimpan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). – UTUSAN










