IPOH: Masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana prestasi dan kerjasama kerajaan yang dibentuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sama ada di peringkat Pusat atau negeri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tidak banyak yang dapat diulas berhubung kerjasama PH dan BN yang pertama kali terjalin apabila bersetuju membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, ini kerana kerajaan yang terbina hari ini belum pun berusia 100 hari apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.
“Macam-macam boleh berlaku, cuma, semua pihak nampaknya mahukan adanya kestabilan politik yang jelas.
“Senario politik di Sabah nampaknya memberi isyarat wujudnya semangat ini dalam kalangan pemain politik. PN (Perikatan Nasional) awal-awal lagi enggan meskipun cadangan itu datang daripada Istana,” katanya.
Kemelut politik Sabah hampir selesai selepas Anwar bertemu ketua-ketua parti di Sabah semalam apabila pembentukan Kerajaan Perpaduan membabitkan semua parti dicadangkan.
Cadangan dikemukakan Anwar itu mendapat sokongan penuh daripada BN Sabah dan Parti Warisan (Warisan) selain Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyokong penuh cadangan Perdana Menteri untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang akan melibatkan seluruh parti politik di negeri itu.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang akan menjadi kayu ukur kepada perkembangan seterusnya mengenai kerjasama PH dan BN.
“Kerjasama PH dan BN banyak terpulang kepada pentadbiran Persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, baik dari segi politik mahupun kemampuan menangani masalah rakyat,” katanya. – UTUSAN










