Kejar untung jangan abai kebajikan pekerja asing - Menteri - Utusan Malaysia

Kejar untung jangan abai kebajikan pekerja asing – Menteri

Majikan pekerja asing
V. Sivakumar membuat pemeriksaan terhadap sebuah premis yang menjadi tempat penginapan pekerja asing dekat sebuah kilang di Aman Perdana di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Majikan digesa tidak meletakkan matlamat keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan kebajikan pekerja warga asing yang menjadi tulang belakang perniagaan mereka.

Menurut Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, penginapan pekerja warga asing yang dilihatnya sendiri dalam operasi hari ini berada dalam keadaan yang teruk dan tidak kondusif untuk didiami.

“Apabila kita melihat sendiri di tiga tempat mereka beroperasi di sini, memang keadaannya mendukacitakan, tidak sesuai untuk mereka tinggal. Bilik mereka kecil dan dimuatkan dengan enam katil. Ada bilik yang tiada kemudahan.

“Ini tidak sesuai terutamanya jika berlaku sesuatu pandemik Covid-19 seperti dahulu. Bagaimana kita menangani masalah apabila berlaku pandemik, kita tidak tahu bila pandemik akan berlaku,” katanya kepada pemberita dalam Operasi Bersepadu Khas Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990, hari ini.

Dalam operasi tersebut, Sivakumar menyertai pemeriksaan di tiga premis yang terlibat  dalam sektor pembuatan berasaskan produk kayu dan juga getah. 

Kesemua kilang tersebut beroperasi dengan tenaga kerja tempatan seramai 44 orang dan tenaga kerja asing seramai 526 orang daripada negara seperti Nepal, Bangladesh dan Myanmar, namun kemudahan penginapan disediakan tidak mempunyai perakuan.

Oleh demikian, beliau mengarahkan pemeriksaan lebih kerap dalam operasi operasi penguatkuasaan akta berkenaan bagi memastikan kebajikan pekerja asing terpelihara.

“Operasi lebih kerap akan diadakan selepas ini. Dulu kita bagi kelulusan,  pemeriksaan semua kita buat sebelum kita bagi kelulusan, sekarang lain pula.

“Sekarang kita bagi kelulusan, kemudian pemeriksaan dan naziran. Ini juga menjadi kaedah terbaharu untuk sekurang-kurangnya tempoh enam bulan untuk memastikan mereka diberi perhatian yang sewajarnya oleh majikan,” tegasnya.

Sivakumar menambah, kediaman yang sempurna untuk pekerja bukan sekadar isu kebajikan tetapi melibatkan isu kebersihan, keselamatan dan kesihatan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya