‘Keadaan kapal agak buruk’

‘Keadaan kapal agak buruk’

KERATAN laporan Utusan Malaysia berhubung kehilangan kru kapal MV Dai Cat 06.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kru kapal MV Dai Cat 06 yang hilang sejak 9 Januari lalu pernah melahirkan kebimbangan berhubung keadaan kapal itu yang agak berusia.

Perkara itu dimaklumkan Derrent Littor kepada sahabatnya, Joffey Jolly semasa kali terakhir mereka berhubung melalui panggilan video pada 25 Disember lalu.

Joffey, 30, berkata, kali terakhir mereka membuat panggilan video, Derrent sempat menunjukkan keadaan dalaman kapal tersebut.

“Dia beritahu kami ‘ini kapal buruk dan agak menakutkan. Jadi, kalau kapal ini singgah di pelabuhan di Kota Kinabalu, tolong bawa saya lari’.

“Kata-kata gurauan itu seperti satu petanda bahawa Derrent benar-benar bertekad untuk tidak lagi mengikuti pelayaran kapal itu sehingga ke Kuching Sarawak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Joffey, panggilan video itu dibuat semasa dia dan rakan-rakan lain berada di gimnasium yang menjadi tempat mereka dan Derrent sering berkumpul serta berlatih bagi sukan gusti lengan.

Mengulas lanjut, katanya, mereka ada menghubungi Derrent sekali lagi pada 31 Disember lalu namun panggilan itu tidak dijawab.

Joffey berkata, sahabatnya itu mula terputus hubungan dengan keluarga pada 1 Januari lepas.

Jelasnya, tidak disangka keadaan kapal yang dilihat seperti tidak mampu belayar jauh itu betul-betul menimbulkan masalah sehingga gagal dikesan kedudukannya sehingga kini.

Kapal MV Dai Cat 06 dinaiki lima kru termasuk tiga warga Malaysia iaitu Derrent, 22; Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, dan Mohammad Sudeh Sudin, 20, dilaporkan hilang pada 9 Januari lalu.

Kapal kargo yang membawa muatan 527 batang besi bernilai RM726,205 itu difahamkan sedang dalam perjalanan dari Perak pada 23 Disember dan dijadualkan tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember. Namun, ia dilaporkan hilang semasa berada di perairan Indonesia, iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN