TEHERAN: Laungan yang menyeru supaya Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dibunuh kedengaran pada majlis penghormatan terakhir bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khameni di Imam Khomeini Grand Mosalla, Teheran semalam.
Iran sedang mengadakan perarakan jenazah Khamenei besar-besaran selama seminggu yang terbunuh bersama beberapa lagi ahli keluarganya pada hari pertama peperangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari.
Upacara pengebumian itu ditangguhkan sebelum ini berikutan perang tersebut.
Solat jenazah untuk bekas pemimpin tertinggi itu serta empat lagi ahli keluarganya diadakan di Imam Khomeini Grand Mosalla, sekali gus menjadi satu acara politik yang menggabungkan suasana berkabung dengan seruan untuk membalas dendam.
Majlis tersebut bertujuan menunjukkan kepada dunia bahawa Iran mempunyai ketahanan sosial serta keazaman untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatannya.
“Mulai sekarang, kain kafan adalah pakaian kami. Demi darahmu, saya bersumpah bahawa membunuh Trump adalah tanggungjawab kami,” kata seorang pemuisi, Mohammad Rasouli. Beliau mendeklamasikan puisi dalam majlis penghormatan terakhir itu.
Beliau kemudian bertanya: “Mengapa manusia paling keji di dunia masih hidup? Dunia bukan lagi tempat yang baik untuk Trump. Mengapa kita tidak harus membunuh lelaki yang membunuh imam kita? Adalah satu penghinaan jika kita tidak berbuat demikian.”
Kenyataan beliau yang dikatakan telah diluluskan dan disediakan lebih awal, menerima reaksi bercampur-campur, namun kebanyakan hadirin menyambutnya dengan sorakan yang kuat.
Duta Iran ke Armenia, Khalil Shirgholami menulis di platform X: “Anda boleh membunuh manusia, tetapi anda tidak boleh membunuh cita-cita. Anda membunuh Ayatollah Ali Khamenei, tetapi hakikatnya anda hanya memecahkan sebotol minyak wangi, yang kini keharumannya telah tersebar ke mana-mana.
“Anda tidak akan pernah memahami perkara ini kerana anda tidak mempunyai tamadun, sejarah mahupun maruah.” – AGENSI










