Melaka bina Inland Port RM300 juta, lonjak hab logistik serantau

Melaka bina Inland Port RM300 juta, lonjak hab logistik serantau

AB. Rauf Yusoh melakukan pecah tanah bagi pembinaan Melaka Inland Port bernilai RM300 juta di Tapak Tanah Taboh Naning, Alor Gajah hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Melaka bakal memiliki sebuah pelabuhan darat pertama menerusi pembinaan Melaka Inland Port di Taboh Naning di sini yang dijangka menjadi pemacu baharu rangkaian logistik negara serta membuka lembaran baharu kepada pembangunan ekonomi dan industri negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, projek strategik bernilai RM300 juta itu bukan sekadar sebuah pelabuhan darat, sebaliknya merupakan pelaburan penting menghubungkan Melaka dengan rantaian perdagangan dan bekalan di peringkat serantau serta antarabangsa.

Menurut beliau, pembangunan tersebut turut memperkukuh aspirasi Melaka untuk muncul sebagai hab perindustrian, logistik dan pelaburan utama di rantau ini melalui pengukuhan ekosistem industri yang lebih bersepadu dan berdaya saing.

Katanya, projek tersebut dijangka menjana Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM540 juta serta mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat negeri ini.

“Pada hari ini, kita bukan sekadar memulakan pembinaan sebuah projek infrastruktur baharu, tetapi meletakkan asas kepada satu visi yang lebih besar iaitu memperkukuh hubungan logistik, menyokong perdagangan dan membina rangkaian bekalan yang lebih cekap bagi rantau ini.

“Projek ini dibangunkan di kawasan seluas 52.9 hektar dan merupakan sebahagian daripada pembangunan MCORP Hi-Tech Park seluas kira-kira 2,023 hektar yang dirancang bagi menyokong pertumbuhan industri berteknologi tinggi dan pembuatan bernilai tinggi di Melaka.,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Melaka Inland Port di Tapak Tanah Taboh Naning, di sini hari ini.

Ab. Rauf berkata, Melaka Inland Port akan berfungsi sebagai hab logistik moden yang mengintegrasikan pelbagai kemudahan termasuk depot kontena bersepadu meliputi kawasan kastam berikat (Custom Bonded) dan bukan berikat (Non-Bonded), kemudahan pengendalian kontena serta operasi pengangkutan rel.

Menurutnya, projek itu turut dilengkapi pusat pergudangan dan pengedaran, perkhidmatan pengangkutan pelbagai mod (multimodal) serta sistem logistik pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang disokong oleh Railway Business System (RBS.

“Kedudukan strategik projek yang terletak berhampiran Stesen Kereta Api Pulau Sebang serta berada di antara laluan utama Singapura dan Pelabuhan Klang memberi kelebihan besar kepada Melaka untuk muncul sebagai hab logistik multimodal yang lebih efisien,” ujarnya.

Katanya, projek ini akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan fasa pertama melibatkan pembangunan kawasan seluas 28.3 hektar yang akan dimulakan segera dan dijangka siap dalam tempoh kurang setahun.

“Baki kawasan seluas 24.6 hektar pula akan dibangunkan dalam fasa kedua mengikut keperluan pertumbuhan industri dan permintaan sektor logistik pada masa akan datang,” ujarnya.

Menurut beliau, apabila beroperasi sepenuhnya, Melaka Inland Port dijangka mampu mengendalikan lebih 300,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun dengan anggaran hasil tahunan sekitar RM120 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN