Isu kenaikan kos umrah dibawa kepada pihak Arab Saudi

Isu kenaikan kos umrah dibawa kepada pihak Arab Saudi

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar bersedia membawa isu peningkatan kos umrah kepada pihak Arab Saudi.

Perkara tersebut disuarakan beliau sebagai mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang mendedahkan lonjakan secara mendadak kadar hotel di tanah suci.

“Saya akan mengemukakan isu kenaikan kos ini terus kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfia Fawzan Al-Rabiah,” katanya menerusi hantaran di laman sosial beliau.

Utusan Malaysia melaporkan berlaku kenaikan kadar penginapan hotel di Mekah dan Madinah sehingga 110 peratus susulan permintaan tinggi dalam kalangan jemaah umrah asing yang diakui Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) yang mendakwa ia ekoran pembukaan semula sempadan banyak negara pasca wabak Covid-19.

Lonjakan caj itu malah naik mendadak selepas tamat musim haji tahun lalu disebabkan trend permintaan melebihi penawaran untuk hotel di tanah suci yang semakin bertambah.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im menjelaskan bahawa beliau ketika ini kebetulan berada di Jeddah, Arab Saudi bagi menghadiri Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023.

“Saya amat memahami perkara ini sedikit sebanyak membangkitkan keresahan para jemaah umrah, namun seperti sedia maklum, isu itu di luar kawalan pihak kita,” nukilnya.

Walau bagaimanapun beliau melihat situasi kali ini turut disebabkan impak kenaikan kos di Arab Saudi sendiri yang tentunya juga memberikan kesan kepada jemaah negara lain.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan pihak agensi umrah di tanah air dapat memberi pertimbangan ruang dan kaedah terbaik agar kenaikan kos dikenakan tidak melampau.

Pada masa sama ujar beliau, sekiranya masih perlu dilakukan kenaikan caj pakej, Mohd. Na’im berharap supaya langkah berkenaan tidak membebankan bakal jemaah umrah.

Ketika ini dianggarkan ada hampir 500 agensi percutian di bawah Matta yang diberikan lesen untuk pengendalian umrah oleh pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Sebelum pintu sempadan negara ditutup pada awal 2020 lalu, kerajaan Arab Saudi merekodkan kira-kira 300,000 jemaah umrah dari Malaysia hadir setiap tahun ke tanah suci. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.